Pabila Ajal Menjemput Secara Tiba-Tiba
Assalamualaikum w.b.t.
Kaifa haalukum? Mudah-mudahan sentiasa berada di dalam rahmat naungan-Nya. Insya-Allah. Penulis kembali lagi untuk berkongsi sedikit perkara di ruangan ini. Penulis menghadapi kekangan masa untuk berblogging. Jadi, penulis hanya sempat untuk menulis di beberapa ketika sahaja. Sekiranya anda berkelapangan, datanglah menjenguk penulis di sini. Dengan ziarah itu, insya-Allah penulis akan bertambah-tambah bersemangat dan berusaha sedaya mungkin untuk selalu menyampaikan sesuatu di sini. =)
2 hari lepas kita dikejutkan dengan pemergian salah seorang daripada sahabat Ckin Kembaq iaitu Muhammad Fazrul Afiq yang dikhabarkan telah mengalami kemalangan jalan raya di Rawang. Kemalangan itu telah menyebabkan dia meninggal dunia dan seorang lagi kawan perempuannya juga bekas pelajar dari sekolah yang sama iaitu SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA NIBONG TEBAL. Kedua-duanya sekarang penuntut di IPTA di sana. Penulis dimaklumkan bahawa kawan perempuannya berada di ICU Hospital Sungai Buluh dan telah mengalami kecederaan yang sangat teruk iaitu pecah di tulang pinggul dan tisu perutnya. Marilah sama-sama kita menyedekahkan AL-FATIHAH kepada saudara Fazrul Afiq. Insya-Allah kita doakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin.
Oleh itu, penulis tergerak hati untuk berkongsi sedikit perkara mengenai kematian ini. Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Tidak ada yang akan terlepas darinya. Jadi, suburkanlah iman, ikutlah hukum-Nya, tinggalkan larangan-Nya, kerjakan suruhan-Nya. Jangan menjadi salah seorang hamba yang tidak sempat untuk mengerjakan amalan-amalan ketika ajal menjemput kelak. Insya-Allah. Sama-sama kita ingatkan diri kita ini.
Penulis ingin berkongsi penulisan ini. Sumbernya tidak dapat penulis sertakan di sini kerana penulis telah terdelete. Maafkan hamba yang khilaf ini. =) Ini adalah sebagai peringatan kepada kita yang masih hidup agar mengisi masa hidup di dunia ini dengan menambahbaik amalan-amalan yang sudah sedia dilakukan. Sesungguhnya apabila kematian menjemput, tidak mungkin kita akan mampu untuk hidup kembali di atas muka Bumi Allah yang sementara ini. Mengikut kata salah seorang ustaz, apabila seseorang itu mati, dan jika diberikannya dua pilihan sama ada mahukan dunia dan seisinya mahupun untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, PASTI dia akan memilih untuk solat 2 rakaat berbanding dunia ini. Nampak di situ? Kepentingan kita untuk memanfaatkan masa yang ada. Supaya kita tidak menyesal kelak.
Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."
Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.
Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Penulis tidak mampu untuk mengubah diri anda semua melainkan anda sendiri yang ingin berubah ke arah jalan yang diredhai Allah s.w.t. Allah juga mengingatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bersedih kerana merasakan gagal untuk membuatkan bapa saudaranya untuk mengucap syahadah di saat kematiannya. Allah berfirman yang begini maksudnya:
"Jika engkau (wahai Muhammad) sangat berharap mereka mendapat hidayah petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada orang yang (berhak) disesatkan-Nya; dan tiadalah bagi mereka seorang pun yang menolong".(Surah An-Nahl : 37)
Setinggi mana darjat kita, tetap akan kembali kepada tanah. Bersediakah kita? |
Cukuplah sekadar itu yang penulis ingin sampaikan pada hari ini. Setiap yang baik datangnya daripada Allah Yang Maha Agung. Kelemahan itu datangnya daripada diri penulis sendiri. Wallahua'lam.
Memang benar sabda Nabi Muhammad s.aw. yang bermaksud:
"Cukuplah kematian sebagai penasihat bagiku".
4 Kata Berhikmah:
semoga Allah merahmatinya....
peringatan yang baik, ditambah dengan musik instrumental. sangat terkesan!..
manusia mati sekali dan hidup dua kali. (dunia dan akhirat).
penulisan yang baik, cuma hadith yang dinyatakan tidak diletakkan sanad,.. ia amat penting dan metod utama dalam meriwayatkan hadith..sebab tanpa sanad, ia akan menyukarkan pembaca membuat penyemakan hadith, takhrij dan tahqiq dan tanpa sanad, ia akan memudahkan orang awam untuk mengambil sekalipun ia hadith palsu, israiliyyat atau syiah..
sekadar teguran kerana gembira teman-teman ingin menjinakkan diri dalam hadith, moga ilmu ini menjadi manfaat di masa akan datang.
teruskan penulisan anda, dan jemput ke blog untuk menimba ilmu, insyaAllah akan datang akan ada entri siri hadith :)
Haffzone.
syukran sahabat... =)
syamilsynz.
insya-Allah..mudah-mudahan.. =)
WADi.
syukran WADi...insya-Allah akan diubah.. =)
Post a Comment