You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "

Powered by Blogger.

Saturday, 10 December 2011

Sifat Al-Muraqabah Ada Dalam Diri Anda?

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Bersua lagi penulis dengan anda. Suasana cuti ni masih terasa walaupun minggu-minggu hadapan kita selaku pelajar akan meneruskan kehidupan sebagai pelajar manakala pelajar yang bakal menjalani latihan industri akan meneruskan perjuangan di medan masing-masing. Semoga kita semua akan ditetapkan iman di hati walau di mana jua kita berada. Insya-Allah. =)


Pada pagi Jumaat yang lepas, penulis sempat menonton Rancangan TV Al Hijrah yang bertajuk Madrasah Akhlak. Penulis suka untuk berkongsi dengan anda mengenai kandungan yang terdapat dalam perbincangan hari berkenaan. Tajuknya adalah mengenai Al-Muraqabah. Penulis suka mendengar kalimat-kalimat yang keluar daripada mulut Ustaz Roslan Mohamed ini. Bagi penulis, ianya mudah untuk masuk ke dalam hati penulis. Gayanya mudah. =)


Al-Muraqabah bermaksud Mengawasi Diri.

Bagaimanakah yang dikatakan mengawasi diri ini? Penulis merujuk kepada sepotong hadis yang disebut oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi : 

"Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat Allah dan sekiranya kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu"

(Riwayat Muslim)

Begitulah yang dijelaskan kepada kita semua. Terutamanya dalam konteks ibadah. Sekiranya diikutkan, segala amal perbuatan kita di atas dunia yang fana ini adalah ibadah. Tidak kira seseorang sedang belajar, bekerja, makan, minum, tidur, mandi, berkahwin, memimpin dan sebagainya. Semuanya adalah menjadi suatu ibadah. Tetapi, sejauh manakah kita meletakkan tahap Ihsan ini di dalam hati kita?


Contoh yang penulis boleh bawakan di sini adalah sebagai seorang hamba Allah. Adakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba? Atau kita hanya menganggapnya sebagai suatu yang biasa-biasa sahaja? Fikir-fikirkan kembali. 

Bagaimana situasi solat kita ketika sedang bersendirian dan ketika berada bersama dengan orang lain? Adakah masih sama ataupun hanya sekadar untuk membuatkan orang lain berfikir bahawa kitalah orang yang paling khusyuk dan tawadhuk ketika berada dalam kalangan masyarakat lain?

Penulis ingin mengulang kembali akan kisah yang dibawakan oleh Ustaz Roslan Mohamed pada hari tersebut. Kisah yang dikongsikan adalah mengenai kisah Imam Hassan Al-Basri yang mempunyai sifat Al-Muraqabah yang sangat tinggi di dalam hatinya. 


Dikisahkan begini :

Pada suatu hari, Imam Hassan Al-Basri melalui satu kawasan di mana ada ramai orang yang kelaparan. Jadi, beliau berniat untuk bersedekah kepada insan-insan ini. Namun, apabila hampir berada berdekatan dengan golongan susah ini, beliau membatalkan hasrat hati beliau untuk bersedekah. Hal ini kerana terdapat ramai orang yang memerhatikan. Jadi, beliau pulang semula. Pada keesokan harinya, beliau datang lagi. Tetapi, masih ada orang yang memerhatikan. Beliau membatalkan hasrat hati beliau itu. Begitu juga pada hari ketiga. Namun, pada hari keempat, apabila beliau melihat tiada lagi orang yang memandang, lantas beliau melaksanakn hasrat hati beliau itu.


Sesudah sahaja memberikan keperluan yang diinginkan, beliau lantas pulang. Hal itu disaksikan oleh anak-anak murid beliau. Lalu, mereka bertanyakan kepada Iman Hassan Al-Basri.

"Wahai guru kami, mengapa engkau melakukan hal seperti itu?"

Kemudian, dijawab oleh Imam Hassan Al-Basri :

"Aku tidak mahu kebaikanku itu dilihat oleh orang lain dan ianya boleh mempengaruhi keikhlasan hatiku".


Begitulah jawapan daripada Imam Hassan Al-Basri. Begitulah sifat al-Muraqabah yang tertanam di dalam hatinya. Kita? Fikir-fikirkan sejenak.

Sekiranya sifat al-Muraqabah ini berada kukuh di dalam hati anda dan juga penulis, sudah pasti kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah hatta ketika kita sedang berseorangan. Percaya atau tidak?

Sekiranya kita merasakan akan kehadiran Allah, 
kita akan takut untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan-Nya.
Sekiranya kita merasakan akan kewujudan Malaikat, 
kita pasti akan berfikir 100 kali untuk melakukan perkara terlarang.
Sekiranya kita melihat azabnya neraka, 
kita pasti akan menjauhkan larangan-Nya.
Sekiranya kita diperlihatkan akan keindahan syurga, 
pasti kita akan berusaha mengejarnya.

Turut dibawakan sebuah lagi cerita oleh Ustaz Roslan Mohamed dalam siri kali ini.


Pada suatu hari, ada seorang guru yang ingin mengijazahkan ilmu yang dipelajari kepada anak-anak muridnya. Penulis terlupa untuk mencatatnya. Lalu, guru ini memberikan setiap seorang seekor ayam untuk disembelih.

"Pergilah kamu sembelih ayam ini di tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapapun"

Maka, berlalulah murid-murid tersebut. Setelah beberapa ketika, mereka kembali lalu menunjukkan kepada guru mereka akan ayam yang disembelih. Ada yang menyembelihnya di dalam hutan, ada yang sembelih di dalam gua, di belakang batu dan sebagainya. Hanya seorang sahaja murid yang masih membawa ayam yang masih hidup. Lalu ditanya kepada murid berkenaan. 

"Mengapa kamu masih tidak menyembelih ayam kamu itu?"

Lantas dijawab oleh murid berkenaan :

"Bagaimana aku ingin menyembelihnya? Aku tidak menjumpai tempat yang tiada sesiapapun yang tidak boleh melihat aku. Kerana Allah sentiasa melihat aku."

Guru tersebut  senyum kepada muridnya itu. Beliau berkata :

"Kamulah muridku yang setia".


Begitulah kisah yang dipetik daripada kisah guru dan muridnya. Kalau tak silap penulis, guru ini merupakan insan hebat. Allahuakbar! Penulis betul-betul hilang ingatan seketika. Tidak mengapa, ambillah isi kandungan cerita sebagai pengajaran. Semoga anda mendapat sesuatu pada hari ini. Insya-Allah.

Tidaklah sukar untuk menerapkan perasaan al-Muraqabah ini ke dalam diri kita. Tetapi, persoalannya, MAHUKAH ANDA? Atau anda sekadar ingin membaca coretan daripada penulis? Fikir-fikirkan sejenak. Pejamkan mata dan muhasabahlah diri anda. Penulis juga melakukan hal yang sama. Apa yang dicoretakan penulis, penulis akan meneliti semula. Supaya masuk ke dalam hati penulis dalam-dalam. Dan bukannya sekadar terpahat di sini. Insya-Allah.


Namun begitu, terdapat juga persoalan yang dikemukakan oleh seorang sahabat kita yang berada bersama-sama dengan majlis ilmu Madrasah Akhlak pada hari itu. 

Soalannya berbunyi begini :

"Ustaz, apa pendapat ustaz sekiranya ada yang salahtafsirkan sifat al-Muraqabah ini? Contohnya, seseorang yang nak bangun subuh. Tetapi, tiba-tiba dia rasakan ada yang memerhatikannya, kemudian dia tidur semula?"

Macam kelakar kan soalannya?

Tetapi, inilah hakikatnya. Ramai yang suka salahtafsirkan sesuatu dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Lebih ringkas disebutkan, ianya adalah ZALIM.

Gambar di atas adalah contoh mudah. =)

Jawapan ustaz adalah perkara yang wajib perlu ditunaikan. Yang disebutkan al-Muraqabah dalam kisah Imam Hassan Al-Basri itu adalah perkara sunat. Perkara yang wajib adalah wajib. Dahulukan yang wajib seterusnya diikuti yan sunat. Ianya adalah merupakan perintah Allah. Jadi, tiada istilah "malu" atau "melindungi diri dari dilihat orang".

Begitulah sedikit perkongsian yang boleh penulis sampaikan di waktu cuti yang damai ini. Insya-Allah sekiranya ada peluang lain, penulis akan menyampaikan lagi serba-sedikit ilmu yang penulis rasakan sesuai untuk dikongsikan bersama anda semua. Semoga berjumpa lagi di lain waktu dan ketika. Wallahua'lam.


Penulis tinggalkan anda dengan firman Allah dari Surah Al-Hasy : 18 

"Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang yang memerhatikan apa yang diusahakan esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan…”


0 Kata Berhikmah:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP