You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "

Powered by Blogger.

Friday, 15 March 2013

Erti Kelapangan Hidup

Mari lihat diri, apakah kehidupan kita kini semakin lapang ataupun semakin sempit? Apakah saban hari kita merasakan semakin selesa dan gembira dengan apa yang kita lalui, atau sebaliknya semakin rasa terseksa dan tertekan dengan kehidupan seharian?

Kehiduan ini terlalu anjal sifatnya. Seketika kita boleh menarik nafas lega, berasa selesa dan lapang dada, tenang fikiran dan panjang angan-angan. Namun, ada ketikanya kita mungkin berasa sesak nafas, sempit dada, fikiran dibelenggu dengan masalah, dan kabur jalan yang bakal ditempuhi.

Mengapakan keadaan yang sedemikian berlaku? Adakah ia sekadar illusi atau permainan pancaindera? Ataupun adakan kehidupan itu sendiri mempunyai tirai rahsia yang perlu disingkap hijabnya?

Terlalu banyak persoalan yang diajukan. Persoalan yang kita sendiri ragu-ragu dengan jawapannya. Soalnya, jawapanyang sebagaimanakah  yang kita inginkan kepada persoalan tersebut? Apakah dia, erti kelapangan dalam kehidupan?



Cuba kita renungkan doa yang diajarkan kepada kita ketika mengerjakan umrah, ataupun ketika ingin meneguk air zam-zam.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفَاءً مِنْ كلِّ دَاءٍ وَسَقَمٍ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِين

Maksudnya: "Ya Allah, kami memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit."

Indah sungguh doa yang diajarkan kepada kita ini. Seolah-olah terangkum ciri-ciri kelapangan dalam kehidupan itu pada tiga perkara yakni;.
  1. Ilmu yang bermanfaat, 
  2. Rezeki yang luas,
  3. Sembuh daripada segala penyakit.

Tiga perkara ini jika dimiliki seseorang, sudah tentunya ia memberikan satu perasaan kelapangan dalam kehidupan. Betapa hidup ini perlu berpaksikan di atas dasar keilmuan yang bermanfaat. Ilmu akan menjadi penyuluh kehidupan, memimpin kita ke arah kebenaran dan menyelamatkan kita dari jatuh ke jurang yang membinasakan.

Rezeki yang luas juga ialah faktor yan membawa kepada kelapangan hidup, meskipun tidak semestinya. Masih ramai orang yang kaya tetapi tetap berasa sempit dadanya dan sesak kehidupannya kerana hilang ciri-ciri yang pertama (ilmu) dan ketiga (sihat). Namun begitu, jika ada ilmu, rezeki boleh diusahakan apabila ilmu tersebut diaplikasikan dalam kehidupan, insya Allah.

Walau bagaimanapun, ingatlah akan amaran Rasulullah SAW kepada kita, maksudnya: " Hampir-hampir kafakiran itu membawa kepada kekufuran. ". Jadi, rezeki yang luas adalah faktor pelengkap kepada dua faktor lain untuk mendapat kelapangan hidup.

Dan akhirnya, kesihatan adalah nikmat dan harta yang paling berharga untuk mengecap kelapangan hidup. Seorang professor yang hebat tetapi akhirnya terlantar dek sakit kronik, tentu kehilanagan kelapangan dalam hidup. Begitu juga seorang jutawan, sebanyak manapun harta yang dimiliki masih tidak mampu membeli kesihatan yang merupakan anugerah mutlak daripada Allah SWT kepada hambaNya.

Oleh itu bermuhasabahlah. Mari kita menilai dan koreksi diri kita, apakah ilmu yang kita pelajari sesuai dengan kehendak Alah SWT ataupun sekadar menurut nafsu semata-mata? Adakah rezeki yang kita perolehi itu datang dari sumber yang halal? Dan apakah yang kita makan dan kerjakan untuk menjaga kesihatan kita?

Sesungguhnya kelapangan hidup ialah dambaan bagi setiap manusia, Dan sebagai hamba, selayaknya kita pasrah di atas kurniaan Allah SWT kepada kita. Kelapangan hidup ialah kurniaan ALlah SWT kepada kita, jadi sebagai hambaNya, mohonlah dengan setulus-tulusnya, mudah-mudahan kita dikurniakan jalan-jalan kelapangan hidup. Apabila memohon, mohonlah agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan sembuh dari segala penyakit. Semoga Allah SWT melapangkan kehidupan kita semua, insya Allah.


Risalah Jumaat, 3 Jamadil Awal 1434H
Lajnah Usrah & Dakwah, RAPI

0 Kata Berhikmah:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP