Masa Mudamu, Ke Mana Anda Habiskan?
Assalamualaikum w.b.t.
Kita dipertemukan lagi di ruangan yang terhad ini. Sisa-sisa cuti semester masih ada bakinya. Namun, sudah ada yang menawarkan diri untuk diisi ilmu ke dalam hati. Tahniah kepada mereka yang menyerahkan jiwa dan raga untuk bersama-sama berganding bahu dengan datang awal ke Politeknik untuk menghadiri program RAPI yang bakal bermula pada hari esok. Bagi yang tidak dapat hadir, mungkin ada yang sibuk dengan urusan masing-masing. Mungkin mempunyai masa yang terhad untuk hadir. Mungkin sengaja. Mungkin tidak. Segala-galanya adalah mungkin. Tetapi, anda sendiri yang lebih mengetahui. Fikir-fikirkan sejenak.
Adakah anda tergolong daripada mereka-mereka yang "SUKA MEMBERI ALASAN"?
Penulis tidak berniat ingin menyalahkan mana-mana pihak mahupun anda yang membaca coretan penulis di sini. Penulis hanya ingin mengajak anda untuk berfikir dan berfikir. Setelah itu, buatlah pilihan yang tepat dan bijak untuk diri anda. Letakkan diri anda di tempat yang selesa.
Harus diingat, penulis ingin membuka ruang minda anda supaya berfikir sejenak. Muhasabahkan diri anda. =)
Pertamanya, penulis mengetahui bahawa satu program Rakan Pusat Islam akan diadakan pada hari esok. Namun, penulis mendapati jumlah mereka yang mengikuti program rohani ini sangat mengecewakan. Mengapa terjadi hal sebegitu? Anda ada jawapannya?
Sudah pasti anda mempunyai jawapan tersebut.
Sibuk.Banyak kerja.Family tak dapat nak hantar balik awal.Bas penuh.Tak tahu pun.Biarlah orang lain berprogram. Saya tak mahu.
Itulah antara alasan yang dikemukakan. Betul? Penulis sedikit kecewa dengan sikap anak-anak muda zaman sekarang. Penulis bercakap dengan nada yang jujur.
Wahai sahabat penulis yang dirahmati Allah...
Apakah yang hendak dipersembahkan di depan Allah kelak?
Penulis terkenangkan akan 4 soalan maut yang bakal ditanya kepada kita semua kelak. Soalan yang dah dibocorkan.
1-Umurmu ke mana telah gunakan.
2-Tentang masa mudamu ke mana telah kamu habiskan.
3-Hartamu dari mana telah kamu perolehi dan dimana kamu infakkan.
4-Ilmumu adakah sudah disampaikan dan diamalkan.
4 perkara ini. Bukan mudah untuk dijawab kelak wahai sahabatku.
Penulis mengalami saat-saat dilema, serba salah bagi menjawab persoalan-persoalan ini. Perkara yang paling penulis takut dan risau adalah mengenai
"Masa mudamu, ke mana kamu habiskan?"
Anda? Anda tidak takut akan persoalan ini? Mengingatkan kepada persoalan-persoalan inilah yang membuatkan penulis masih berada di sini. Mengambil tanggungjawab yang tidak mahu diterima oleh orang lain. Kepala penulis pernah sakit dek memikirkan jawapan kepada persoalan ini. Solat menjadi tidak khusyuk lantaran terlalu berfikir dan terlalu takut. Sehinggalah pada suatu hari, sahabat penulis yang paling rapat mula menasihatkan penulis.
Apa gunanya zikir-zikir yang dia berikan kepada penulis untuk diamalkan?Masjid dekat dengan kawasan perumahan, mengapa tidak memanfaatkannya?
Dan beberapa lagi pesanan. Inilah yang dikatakan sahabat. Sahabat yang mengingatkan diri kita. Bukan melalaikan diri kita. Bukan sekadar bercakap kosong tanpa bertindak. Alhamdulillah penulis merasakan ketenangan itu. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya penulis dapat menyediakan sedikit bekal di samping mencari banyak lagi bekal untuk dihadapkan di hadapan Allah kelak. Penulis masih mempunyai banyak kedhaifan diri yang tidak terlihat oleh mata kasar. Namun, penulis sentiasa ingin berubah dari satu tahap ke tahap yang lain.
Bukankah Nabi kita telah berpesan :
"Orang yang hari ini lebih baik dari semalam adalah orang yang beruntung. Manakala orang yang hari ini masih sama seperti semalam adalah orang yang rugi. Dan orang yang hari ini lebih teruk dari semalam adalah orang yang celaka".
Adakah anda tergolong dalam golongan insan-insan yang beruntung, rugi mahupun CELAKA? Renung-renungkan sebentar. Muhasabah diri semula.
Penulis teringatkan akan firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Sekiranya sesuatu kaum itu tidak mahukan Islam, maka Aku akan memberikan kepada mereka yang mahukannya".
Nah! Sedikitpun Allah tidak rugi apatah Islam itu sendiri. Hari demi hari, ramai yang inginkan Islam. Dan ada juga yang semakin jauh dari Islam itu sendiri. Mengapa?
Cukupkah dengan mengatakan :
"Saya dah cuba sedaya upaya. Inilah kadar kemampuan saya".
Cukupkah?
Cukup bagi diri kita yang sentiasa mahukan kesenangan. Yang tidak mahu bersusah-susah di usia muda.
Elakkanlah diri kita dari menjadi salah seorang hamba pilihan Allah yang akandiPEKAKkan telinganya, diBUTAkan matanya dan diBISUkan mulutnya.
Mengapa penulis begitu menekankan akan hal ini?
Anda perasan, apabila seseorang itu sudah menghabiskan pengajiannya di sesuatu IPT, pasti dia akan merindukan IPT tersebut walaupun hakikatnya dahulu dia tidak begitu menyukai IPT yang didudukinya. Benar? Kerana mereka begitu merindukan suasana "student life" yang tidak akan berulang lagi. Mengapa ketika di IPT, anda tidak mahu bersungguh-sungguh dalam menawarkan diri untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan tanggungjawab bersama ahli yang lain? Mengapa bila dah grade, barulah nak mengatakan "dah terlambat", "rindu suasana jemaah", "rugilah dah tak ada di IPT" dan bermacam-macam lagi?
Fikirkan kembali. Ada yang tinggal jauh dari Politeknik ini. Johor, KL, Perak, Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Tapi, anda pastikah yang anda akan menjejakkan kaki lagi ke Politeknik atau IPT bagi menyambung "tugasan" anda yang tidak sempat disiapkan sebelum ini? Anda boleh menjamin perkara itu? Hatta yang tinggal di Perlis sekalipun tak dapat hadir ke IPT, apatah lagi yang tinggal jauh. Penulis ingin menyatakan bahawa zaman IPT di kala usia remaja tidak akan kembali lagi walaupun kelak mungkin ada yang akan menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi seperti PHD dan sebagainya. Jadi, hargailah zaman ini supaya anda dan penulis mempunyai bekal untuk dihadapkan di hadapan Allah kelak.
Islam tidak akan rugi. Yang rugi adalah ANDA!
Kepada peserta program esok, ikhlaskan niat di hati bagi membentuk semula diri yang mempunyai banyak khilaf. Jadikan setiap ilmu yang diperoleh sebagai 'top-up' tambahan kepada diri anda masing-masing. Biarlah 'mereka' di luar sana dengan dunia mereka. Tetapi, fikirlah sejenak. Alangkah beruntungnya anda kerana anda merupakan insan terpilih yang dipilih oleh Allah. Yang dimudahkan oleh Allah. Allah jua yang memberi dan menarik nikmat manusia. Anda tidak akan menyesal. Percayalah. Mungkin sekarang masa anda dihabiskan di sini untuk masih istiqamah dalam jemaah, tetapi suatu hari pasti anda tidak akan menyesal. Kerana anda juga akan mempunyai anak. Anak-anak itulah akan mengikut jejak langkah anda. Sama-sama kita renungkan. Hendak mendidik anak bukanlah setelah mereka lahir, tetapi bermula dari zaman muda ayah-ayah mereka. Sikap ayah atau ibu akan turun kepada anak-anak. Iman tak dapat diwarisi tetapi akhlak boleh diwarisi. Wallahua'lam.
Penulis tinggalkan anda dengan pesanan daripada Imam Al-Haddad :
"Bersegeralah dalam berbuat kebajikan kerana akan tiba satu zaman yang peunh dengan fitnah. Apabila berbuat kebaikan, yang nampak adalah kejahatan. Begitulah sebaliknya".
0 Kata Berhikmah:
Post a Comment