Assalamualaikum w.b.t.
Astargfirullahal'azim. Astargfirullahal'azim. Astargfirullahal'azim.
(Bersama-sama anda istighfar dengan penulis yer. Insya-Allah)
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah s.w.t. ini. Dapat bangun di pagi hari, menunaikan ibadah dan akhirnya kembali kepada fitrah. Alhamdulillah.
Tersentap di jiwa penulis tatkala membaca entri di blog saudara Iqbalsyarie yang memaparkan akan teguran halus oleh dirinya buat puteri-puteri di luar sana. Lihat sini :
Penulis ingin berkongsi dengan anda semua bait-bait kata yang diluahkan dalam entri beliau dengan cara penulis yang tersendiri. Penulis kurang suka membaca tulisan yang tidak disulami dengan imej-imej penenang. Jadi, penulis mengedit semula post beliau untuk tatapan dan peringatan penulis dan anda semua. Insya-Allah. Tanpa melengahkan masa, marilah kita menghayati bait-bait madah yang disampaikan oleh saudara Iqbalsyarie ini. Insya-Allah. =)
Puteri,
Pernah makan ubat tak? Mesti pernah kan? Dulu masa puteri kanak-kanak, mak puteri mesti suapkan puteri ubat. Lucu pula membayangkan masa-masa dulu tu. Mesti masam saja muka puteri kerana dipaksa untuk telan ubat, kan? Tak apa. Saya faham puteri. Saya dulu pun macam tu juga; tak suka makan ubat. Pahit!
Yalah puteri. Kita punya pandangan yang sama. Ubat memang selalunya pahit, tak sedap dan kita pun tak suka. Tapi puteri, pahit-pahit ubat pun, ia penting dan ia bernilai.
Puteri,Tujuan saya menulis surat ini pun sama. Saya nak memberi 'ubat'. Saya tahu ia 'pahit'. Saya tahu puteri pun tak suka. Tapi puteri... kita kan sama-sama setuju yang pahit itu menyembuhkan. Jadi saya harap sangat puteri tak melenting. Baca, fikir, dan bertindak.
Puteri,
Allah berfirman dalam ayat 5 surah At-Tin:
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dala bentuk yang sebaik-baiknya".
Ayat Allah ini sangat betul puteri. Pada diri puteri, tiada yang tak cantik. Tiada yang tak indah. Tiada yang tidak menawan. Semuanya memikat.
Sungguh!
Tapi puteri, dalam ayat yang lain, Allah juga berkata:
"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh".
Puteri... saya tak bermaksud untuk mengatakan puteri itu 'rendah'. Tidak sama-sekali. Tapi puteri kena ingat, Allah kata kita ni 'rendah', tak cantik, tak indah, bahkan hodoh, bodoh, hina, dan jijik jika kita tak taat kepada Dia.
Puteri sayang,
Allah benar-benar Maha Pencipta Yang Agung. Ciptaannya sempurna. Buktinya jelas terpampan dan terpasung pada diri puteri sendiri. Puteri indah, cantik. Tapi atas dasar apa cantik itu? Atas tujuan apa jelita itu? Dan untuk apa diciptakan oleh Dia, dirimu yang indah? Untuk suka-sukakah? Saya rasa tidak. Untuk semudah petikan jari, keindahan itu dipertontonkan kepada semuakah? Saya yakin bukan. Untuk sebuah senyum jengkel, keindahan garapan Dia pada batang tubuh puteri dinikmati dengan khianat oleh mata-mata manusia? Sudah tentu bukan!
Lalu, kenapa Dia jadikan puteri sangat jelita? Sangat indah? Sangat menawan? Dan sangat mengiurkan?
Jawabnya: "La'allakum tashkurun".
Mudah-mudahan puteri bersyukur.
Puteriku,
Boleh tak jika kita berbicara sedikit tentang aurat? Saya tahu puteri jemu. Saya faham puteri bosan. Iyalah. Sudah ramai yang 'menghentam' orang-orang macam puteri kan? Orang yang 'free-hair', orang yang berpakaian singkat, orang yang bergaya seksi. Kata mereka, orang-orang macam puteri inilah yang bakal memenuhkan neraka. Sedihnya saya. Tak patut langsung mereka kata begitu. Adakah mereka itu bukan calon ahli neraka? Hingga mereka celupar sangat nak kata puteri begitu! Maafkan saya puteri. Saya kecewa dan tumpang bersedih.
Tapi tak apa. Puteri dengar dahulu apa saya nak cakap ni. Berlapang dadalah. Saya tak mencaci, jauh sekali membenci. Tapi kerana saya sayang, kerana saya kasih, dan kerana saya ambil peduli, saya sertakan diri puteri untuk sama-sama duduk di 'meja bulat' ini, bersama bercakap tentang aurat.
Puteri, bagaimana ya saya mahu bermula?
Mungkin petamanya saya patut benar-benar meminta maaf. Saya akui saya tak bijak. Saya akui juga saya tak cukup kretif dan berhikmah dalam berkata-kata. Tapi saya pohon benar, tiada sedikit luka pun saya tinggalkan dalam hati puteri yang indah itu. Tiada.
Puteri, kita sama-sama mengakui bahawa aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Setuju? Kerana kita bermazhab Syafie, maka kita yakini seluruh tubuh yang kecuali bahagian wajah dan pergelangan tangan ialah aurat. Lalu, daripada rambut hinggalah ke hujung kaki, selain daripada dua anggota zahir itu, wajib bagi puteri untuk menutupnya. Setakat ini masih boleh bersetuju?
Oh, apa dia? Kaki?
Ya. Kaki juga aurat puteri. Tapi tak apa. Kita fokus dahulu kepada perkara pokok.
Puteri mesti ada kawan-kawan wanita yang solehah, yang baik-baik kan? Tengok apa yang mereka pakai? Tubung labuh, jubah, stokin tangan, dan sarung kaki. Itu biasa bagi mereka. Tapi mungkin puteri tak tahu, selain mereka, ada juga satu golongan lagi yang bertudung. Mereka tidak menampakkan keindahan rambut mereka, tapi hanya itu sahaja yang mereka simpan.
Kecantikan batang tubuh mereka dibiarkan 'diratah' oleh nafsu serakah golongan pria. Bagi puteri, betul tidak orang macam ini?
Betul? Kenapa puteri kata betul? Oh... sebab kawan-kawan puteri yang baik-baik tu cakap kalau tak pakai tudung, berdosa masuk neraka. Iya?
Betullah tu puteri, tapi tak tepat. Puteri kena ingat satu; aurat wanita bukan semata-mata rambut. Tak pernah termaktub dalam mana-mana bahagian dalam agama, bahawa jika wanita sudah bertudung, bermakna aspek aurat dia sudah selesai. Tak ada puteri. Kata-kata sahabat puteri tadi tu tak tepat.
Yang masuk neraka bukan hanya orang yang tak bertudung, tapi orang yang berpakain mendedahkan keindahan batang tubuh, itulah yang paling layak dahulu. Tak kiralah dia bertudung atau tidak, labuh atau singkat... asal saja sisi penampilannya menggeletek nafsu lelaki, membangkitkan ghairah lelaki tanpa dia sendiri sedar, maka dia lebih patut ke neraka.
Maaf. Saya bukan nak menakut-nakutkan tapi hakikatnya memang begitu. Islam yang datang daripada Rasulullah ada dua elemen;
'basyiran' wa 'naziran', berita gembira dan peringatan. Saya cuma menyampaikan peringatan.
Puteri, pada diri orang yang tak bertudung, memang dia berdosa pada Allah. Tapi bagi yang berpakaian ketat dan mendedahkan keindahan tubuh badan, dia berdosa dua kali ganda. Lebih-lebih lagi, yang bertudung tapi berpakaian ketat, dia berdosa bahkan berganda-ganda!
Atas dasar apa saya bercakap begini? Sembereno? Tidak...
Cuba puteri ingat balik, apa tujuan Allah mewajibkan wanita berjilbab. Kita sama-sama rujuk surah al-Ahzab ayat ke 59:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak gadismu, dan isteri-isteri orang mukmin; "Hendaklah kamu menutup jilbabnya keseluruh tubuh mereka", kerana yang demikian itu agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"
Apa yang puteri dapat ambil pengajaran? Kita sama-sama lihat tujuan jilbab itu-
"...agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu..."
Ya. Itu tujuannya. Ada yang kata, tak bertudung membangkitkan nafsu. Benarkah kata-kata mereka ini? Betulkah dengan hanya tunjuk rambut, nafsu lelaki akan bergelojak? Mungkin pada kes-kes yang kritikal, lelaki 'gila' teroleng-oleng. Tapi bagi lelaki yang kebanyakan, dan yang majoriti lagi normal, setakat nampak rambut, nafsu ini belum lagi terdorong untuk penzinaan.Tapi jika batang tubuh itu dibiarkan ditampal dengan benang, atau dibiarkan dilekatkan dengan fabrik halus, ya. Itu memang satu ancaman pada nafsu. Ia benar-benar membuka ruang kepada zina. Atau yang lebih kita takuti, ia membuka ruang kepada jenayah rogol.
Puteri kena ingat, Allah jadikan puteri sebagai makhluk yang cukup indah. Cukup cantik. Setiap inci tubuh puteri ibarat kilauan mata Medusa; yang mengikut kepercayaan Orang Greek lama, jika kita memandang kilaun mata Medusa, kita akan keras dan menjadi batu.
Samalah!
Jika sekali lelaki terpandang keindahan batang tubuh puteri, mereka akan membatu. Susah untuk mengalihkan pandangan kerana nafsu sudah menguasai dimensi sedar. Kerana itu saya minta puteri berhati-hati. Kita hidup di zaman yang serba tak kena. Tak ada orang baik di sini. Jika mahu selamat, sama-sama patuh pada solusi yang Allah tetapkan. Puteri kena tutup aurat, dan kaum lelaki seperti saya pula perlu menjaga kehormatan kaum wanita seperti puteri.
Kerana itulah saya tak pernah tergesa-gesa menyuruh orang bertudung. Sebaliknya, saya suka kalau puteri dan kawan-kawan bermula dengan memakai pakaian yang sopan-sopan. Takrif sopan bagi saya ialah yang longgar, yang labuh, yang tak menayang bentuk badan, terutamanya pada bahagian dada. Contoh pakaiannya ialah baju kurung.
Sedikit demi sedikit, bertukarlah kepada tudung. Saya tahu puteri suka berfesyen dan bergaya. Tak jadi masalah jika tak melampau batas. Bukankah kita orang islam ada batas-batasnya? Puteri bebas mahu menggayakan tudung. Tak pernah jadi kesalahan untuk bergaya asal saja prinsipnya tak digadai. Apa dia prinsip itu?Yang ini penting. Sangat penting. Prinsip bertudung ialah untuk mempamerkan identiti seorang muslimah.
Kerana itu saya kecewa dengan gadis yang bertudung tapi terlompat-lompat, terjerit-jerit, dan terjerut bila bertemu artis. Kerana itu juga saya sedih dengan gadis bertudung yang bercengkerama, berpegangan tangan bahkan sudah membintangi klip-klip video telefon bimbit dengan aksi ghairahnya. Saya pernah menangis juga. Adakah ini muslimah?
Muslimah wajib ada identiti!
Makanya, orang yang begini dosanya ada bonus- iaitu mendatangkan fitnah kepada agama. Puteri masih ingat tidak dahulu, pernah ada kes video seks guru agama tersebar. Kononnya bertudung labuh, tapi berzina dengan teman lelaki. Ramai yang mengeluarkan kenyataan bersifat mengeji, menghina dan marah. Berang. Tapi semuanya dibuat atas perkiraan emosi. Benar kita marah. Benar kita kecewa. Tapi kita tak pernah nak bersoal jawab, menyelidik kenapa gadis bertudung labuh pun tercampak ke kancah zina.
Jawabnya mudah puteri. Hari ini zina bukan lagi pintu pada aurat yang terbuka, tapi ia juga kerana pergaulan yang tak ada sisi penjagaannya. Lelaki dan perempuan, tak kiralah bertudung atau tidak, jika ia sudah mula melebihi batas-batas dan disiplin-disiplin yang ditetapkan, maka sama-sama mereka bertiga; bersama syaitan, merangkak ke pintu zina dan mungkin ia akan membuka pintu kebinasaan yang lebih besar iaitu pintu nereka. Cuma beza antara bertudung, berpakaian ketat, dan pergaulan bebas ialah pada tahapannya.
Puteri tak perlu tergesa-gesa bertudung, tapi puteri cuma perlu segera melindungi keindahan batang tubuh. Puteri juga tak perlu terkejar-kejar membuang atau menyorokkan pakaian-pakaian yang seksi dan mendedahkan batang tubuh, sebaliknya yang paling penting ialah puteri kena menanam batas atau pagar pada perhubungan antara lelaki dan perempuan.
Benar dia kawan kita. Benar dia teman lelaki kita. Dan benar, dia tunang kita. Tapi prinsip tetap prinsip. Jangan gadaikannya.
Dan akhir kata, saya tegur kerana sayang. Ya, kerana sayang. Jangan puteri marah, jangan puteri meradang. Kita sama-sama menelan ubat. Kita sama-sama merasa pahit. Tapi untuk hari esok yang lebih sihat, biar kita sama-sama menelan.
Bagaimana? Anda merasakan sesuatu? Allahuakbar! Mudah-mudahan akan sampai hasrat hati saudara Iqbalsyarie untuk menegur kaum perempuan di luar sana. Semoga usaha murni beliau mendapat rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t. Penulis juga ingin menasihatkan puteri-puteri yang sedang membaca post ini. Terdapat berjuta manusia di planet Allah ini dan setiap isi di dalamnya yakni manusia, mempunyai keinginan nafsu yang pelbagai. Maka, berhati-hatilah. Berhati-hatilah. Berhati-hatilah. Jangan disebabkan mengikut turutan hawa nafsu, anda terjerumus ke lembah hina. Jauhilah dari sekarang. Insya-Allah.
Pesanan penulis,
"Carilah dirimu, selidiklah siapa dirimu"
(Kelak kau akan mengetahuinya tanpa perlu dipaksa)