You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "

Powered by Blogger.

Wednesday, 28 December 2011

Aurat Dengan Sepupu, Anda Ambil Kisah Tak?

Assalamualaikum w.b.t.

Penulis ingin memohon sepuluh jari memohon kemaafan lantaran tidak dapat nak post entri baru di sini lantaran kesibukan yang melanda di hujung-hujung tahun ini. Alhamdulillah hari ini penulis diberi kemudahan dan keselesaan untuk berbicara mengenai satu topik yang perlu dibahaskan dan dijelaskan kepada anda terutama kepada anak-anak perempuan di luar sana. Perkara ini sudah lama bermain di fikiran penulis sejak sekian lama. Lama. Sejak penulis melangkah ke alam sekolah menengah. Namun, hari ini barulah penulis dapat membangkitkan semula tentang perkara yang 'berat' ini. Perkara tersebut adalah :

BOLEHKAH SESEORANG PEREMPUAN MENDEDAHKAN AURATNYA KEPADA SEPUPU TERDEKATNYA? 


Penulis pernah berada di dalam dilema pabila melihatkan saudara mara perempuan yang dengan tenangnya tidak memakai tudung kala berhadapan dengan sepupu mereka, menyingsing kaki seluar hingga paras betis ketika di hadapan rumah, dan sebagainya. Penulis berfikir sejenak. Bolehkah? Bukankah telah dijelaskan di dalam Al-Quran yang merakamkan suruhan Allah di dalam surah An-Nur. Adakah kebarangkalian terlalu panjang ayat itu sehinggakan mereka tidak memahami setiap patah kata yang Allah terangkan? Mari kita semak semula suruhan Allah di dalam surah An-Nur ini. Penulis mengharapkan agar anda memerhatikan satu demi satu ayat yang dipaparkan di sini supaya anda memahaminya, dan bukan sekadar sebagai bahan bacaan. 


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada 
  • suami mereka 
  • atau bapa mereka 
  • atau bapa mertua mereka 
  • atau anak-anak mereka, 
  • atau anak-anak tiri mereka 
  • atau saudara-saudara mereka 
  • atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki 
  • atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, 
  • atau perempuan-perempuan Islam 
  • atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan 
  • atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan 
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur : ayat 31)


Telah dijelaskan dengan begitu terperinci sekali di dalam surah An-Nur ini. Istilah yang mudah untuk difahami dan direnungi. Tiada ayat yang menyatakan bahawa dibenarkan untuk menampakkan aurat mereka kepada saudara lelaki. Ada? Sekiranya ada, jelaskan kepada penulis.

Penulis melihat terlalu ramai anak perempuan yang tidak mementingkan soal aurat ketika bersama dengan sepupu mereka. Sebagai contoh yang mudah, mungkin terdapat anak perempuan yang mengatakan kepada penulis yang :

"Sepupu saya tinggal bersama dengan keluarga saya sejak kecil lagi. Jadi, tiada salahnya bukan? "

"Sepupu lelaki saya menetap di sebelah rumah saya dan kami berkawan sejak lahir lagi... Takkanlah tak boleh?"

"Sepupu saya suka masuk rumah main terjah je. Jadi, susahlah  begini..."

"Sepupu saya tu diibaratkan macam abang saya. Bertepuk tampar, biasalah tu..."


Begitu banyaknya alasan yang dikemukakan oleh anda di luar sana. Bagi menjawab persoalan dan alasan yang diajukan di atas, Islam mengatakan HARAM bagi mendedahkan aurat kepada sepupu lelaki dalam bahasa mudahnya. Mungkin jika disebutkan 'saudara lelaki', anda tidak memahami konteks yang hendak disampaikan. Betul? 

Penulis ingin menjelaskan sejelas-jelas yang mungkin kepada anda supaya anda memahami konteks penutupan aurat yang sebenar-benarnya. Sekiranya anda masih kurang jelas dengan penyampaian penulis di sini, anda boleh merujuk kepada guru-guru yang lebih mahir di dalam bidang ini bagi penjelasan yang lebih mendalam. Penulis menyampaikan mengikut ilmu yang dipelajari penulis. Insya-Allah.

Apabila diterangkan mengenai had batasan aurat ini, sudah pasti aurat seseorang anak perempuan adalah menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Umum juga mengetahui akan hal ini. Namun, perlu disemak semula. Adakah anda benar-benar menjaga batasan aurat anda ini? Fikir-fikirkan sejenak. Mungkin jua terdapat anak-anak perempuan di luar sana sedang melalui proses perubahan dari buruk ke baik, dari 'membuka' kepada 'menutup' dan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru yang lebih baik. Namun, itu bukanlah suatu alasan untuk anda menolak pada sesetengah perkara. Apabila solat DIFARDHUKAN dan WAJIB ditunaikan, begitu jualah dengan AURAT. 


Penulis mengerti kerana mungkin ada anak-anak perempuan di luar sana yang memerlukan masa untuk melaksanakan tuntutan Allah s.w.t ini. Tetapi, sampai bilakah anda memerlukan masa untuk bermula jika bukan dari sekarang? 

Implikasinya begitu mudah.

-----> Solat WAJIB                 -------> Tinggal dapat DOSA
      -----> Tutup Aurat WAJIB   ------->  Tak tutup dapat DOSA

Sama bukan? Di manakah bezanya? Sewaktu berpuasa, sebulan penuh nak dibuat. Tetapi, apabila datangnya bab aurat dengan sepupu, anda tolak. Bukankah anda dikira menolak Islam? Renung-renungkan kembali. Mudah-mudahan usaha murni anda untuk menjadi insan lebih baik akan dapat dicapai. Wallahua'lam.

Sunday, 25 December 2011

Akhir Zaman Mereka Dijulang. Siapa?

Assalamualaikum w.b.t. 

Penulis ingin berkongsi sedikit bingkisan yang dirasakan dapat memberikan sedikit manfaat untuk penulis dan juga anda di luar sana. Ini adalah hasil karya TuanHell iaitu seorang insan yang diberi nama Helmy. Penulis sempat 'quote' kata-katanya dari YouTube. =)

Sedikit pesanan, nak tonton video-video di bawah, sila 'pause' muzik di sebelah atas ye supaya tiada gangguan. =)
@conandao kenapa nama TuanHell? : TuanHell takde maksud apa2... tuan neraka? adakah kita nak masuk neraka? dan adakah kita layak masuk syurga? nama tu sebagai peringatan sahaja, dan tuan hel tu nama saya sebenarnya... Helmy... dan saya dah jawap soalan ni di facebook.. ada link FB kat description... like jangan tak like.. saya bukan artis, jangan risau... kekekeke
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Gaya penyampaian sedikit menyamai Ustaz Akhil Hayy Rawa berkenaan sesuatu isu dulu. =)


Anda nak RM1000 atau RM27000?

Mungkin disebabkan duit itu kita nampak sedangkan pahala itu tidak diperlihatkan. Mungkin itulah puncanya umat Islam tidak mengambil kisah sangat tentang pahala 27 itu. 

Segalanya adalah mungkin belaka. 

"Mu nak, mu buat"

Wednesday, 21 December 2011

"Welcome Home For You" =)

Assalamualaikum w.b.t.


Setelah beberapa hari menghilangkan diri lantaran masalah yang berlaku, penulis kembali ingin mengisi ruang penulisan yang ada ini. Hari ini merupakan hari pendaftaran bagi pelajar Politeknik bagi kemasukan ke Kolej Kediaman. Alhamdulillah bagi yang mendapat tempat di dalam, bersyukurlah kerana masih ramai yang tidak berpeluang untuk mendapat kelulusan  bagi berada bersama-sama anda di dalam. Kepada pelajar yang tidak mendapat kelulusan untuk tinggal di Kolej, jangan sesekali memanding sinis kepada pentadbiran Kolej. Sekiranya anda mempunyai ketidakpuasan hati yang tinggi terhadap kepimpinan Kolej, sila rujuk kepada mereka yang faham. 

Tiada gunanya anda marah disebabkan "kelalaian pihak kolej" menguruskan borang permohonan di sini. "Kelalalain" yang bagaimanakah dilemparkan ke atas pihak kolej? Sekiranya anda merasakan bahawa betul ada "kelalaian" itu, rujuklah kepada pihak kolej. Sekiranya anda marah di belakang sekalipun, tidak akan menjadi apa-apa. Mungkin dosa dapat rasanya. Fikir-fikirkan. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Insya-Allah.


Cukup dahaulu pesanan penulis kepada diri penulis dan anda di luar sana. Hakikatnya, kemarahan seseorang manusia ini tidak ke mana. Sekadar melepaskan keluhan di hati dalam bentuk yang berbeza-beza. Bukankah ada istilah yang mengatakan, 

"Lain manusia, lain perangainya"?

Nah! Di situ dapat dilihat. Perlu juga diingatkan wahai saudara seislamku, ingatlah pada kata-kata yang dipinjam daripada ruangan Ustaz Zaharuddin ini. 

Jika ingin lihat amanahnya seseorang, lihat cara dia berurusan wang dan duit denganmu;
Jika ingin lihat kawalan nafsunya, lihat cara dia berbicara & berurusan dengan orang berlainan jantina yang ‘cantik’ & ‘handsome’ @ disukainya;
Jika ingin tahu akhlak sebenar seseorang, lihatlah dia sewaktu dia sangat marah;
Jika ingin melihat kehebatan akhlaknya lihatlah dia sewaktu berurusan dengan orang yang mencerca & membencinya;
Jika ingin lihat keadilan mindanya dan kebaikan pola pemikirannya, lihatlah cara dia berbincang dengan pandangan berbeza dengannya.


Begitulah umpamanya anda dan juga penulis. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan insan-insan hebat seperti baiknya akhlak Rasulullah yang maksum, kebaikan para sahabat hatta akhlak para ulamak yang ada pun, adakah kita benar-benar mengikuti jejak langkah mereka ini? Renungkan kembali. Sekejap sahaja. 


Think. 

Think. 

Think. 

Think. 

Think. 

Pengajaran dan pembelajaran di era baru akan bermula. Maka, banyak perkara yang perlu difikirkan dan dilaksanakan. 

Cukup sekadar itu pada hari ini. 

Penulis hanya ingin mengucapkan SELAMAT DATANG kepada anda semua ke sesi pengajian bagi semester ini. 


Penulis akan memerhatikan bagaimana diri anda ketika di awal semester, pertengahan semester dan akhir semester.  Segala-galanya bagi menjadi kronologi yang baik bagi yang berusaha, dan menjadi sejarah hitam bagi mereka yang hanya sekadar hadir di IPT untuk berseronok-seronok dan menghabiskan pengajian tanpa membawa sedikit pun ilmu untuk menjadi bekal di luar sana kelak. Wallahua'lam.

Pesanan Penulis,

"Biarlah kedatangan ini dirai, Pemergiannya kelak ditangisi"
Anda pasti merasakannya kelak =)

Monday, 19 December 2011

Masa Mudamu, Ke Mana Anda Habiskan?

Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Kita dipertemukan lagi di ruangan yang terhad ini. Sisa-sisa cuti semester masih ada bakinya. Namun, sudah ada yang menawarkan diri untuk diisi ilmu ke dalam hati. Tahniah kepada mereka yang menyerahkan jiwa dan raga untuk bersama-sama berganding bahu dengan datang awal ke Politeknik untuk menghadiri program RAPI yang bakal bermula pada hari esok. Bagi yang tidak dapat hadir, mungkin ada yang sibuk dengan urusan masing-masing. Mungkin mempunyai masa yang terhad untuk hadir. Mungkin sengaja. Mungkin tidak. Segala-galanya adalah mungkin. Tetapi, anda sendiri yang lebih mengetahui. Fikir-fikirkan sejenak.

Adakah anda tergolong daripada mereka-mereka yang "SUKA MEMBERI ALASAN"?


Penulis tidak berniat ingin menyalahkan mana-mana pihak mahupun anda yang membaca coretan penulis di sini. Penulis hanya ingin mengajak anda untuk berfikir dan berfikir. Setelah itu, buatlah pilihan yang tepat dan bijak untuk diri anda. Letakkan diri anda di tempat yang selesa. 

Harus diingat, penulis ingin membuka ruang minda anda supaya berfikir sejenak. Muhasabahkan diri anda. =)

Pertamanya, penulis mengetahui bahawa satu program Rakan Pusat Islam akan diadakan pada hari esok. Namun, penulis mendapati jumlah mereka yang mengikuti program rohani ini sangat mengecewakan. Mengapa terjadi hal sebegitu? Anda ada jawapannya?


Sudah pasti anda mempunyai jawapan tersebut.

Sibuk.
Banyak kerja.
Family tak dapat nak hantar balik awal.
Bas penuh.
Tak tahu pun.
Biarlah orang lain berprogram. Saya tak mahu.

Itulah antara alasan yang dikemukakan. Betul? Penulis sedikit kecewa dengan sikap anak-anak muda zaman sekarang. Penulis bercakap dengan nada yang jujur.


Wahai sahabat penulis yang dirahmati Allah...

Apakah yang hendak dipersembahkan di depan Allah kelak? 

Penulis terkenangkan akan 4 soalan maut yang bakal ditanya kepada kita semua kelak. Soalan yang dah dibocorkan. 

1-Umurmu ke mana telah gunakan.
2-Tentang masa mudamu ke mana telah kamu habiskan.
3-Hartamu dari mana telah kamu perolehi dan dimana kamu infakkan.
4-Ilmumu adakah sudah disampaikan dan diamalkan.

4 perkara ini. Bukan mudah untuk dijawab kelak wahai sahabatku.


Penulis mengalami saat-saat dilema, serba salah bagi menjawab persoalan-persoalan ini. Perkara yang paling penulis takut dan risau adalah mengenai

"Masa mudamu, ke mana kamu habiskan?"

Anda? Anda tidak takut akan persoalan ini? Mengingatkan kepada persoalan-persoalan inilah yang membuatkan penulis masih berada di sini. Mengambil tanggungjawab yang tidak mahu diterima oleh orang lain. Kepala penulis pernah sakit dek memikirkan jawapan kepada persoalan ini. Solat menjadi tidak khusyuk lantaran terlalu berfikir dan terlalu takut. Sehinggalah pada suatu hari, sahabat penulis yang paling rapat mula menasihatkan penulis.

Apa gunanya zikir-zikir yang dia berikan kepada penulis untuk diamalkan?
Masjid dekat dengan kawasan perumahan, mengapa tidak memanfaatkannya?

Dan beberapa lagi pesanan. Inilah yang dikatakan sahabat. Sahabat yang mengingatkan diri kita. Bukan melalaikan diri kita. Bukan sekadar bercakap kosong tanpa bertindak. Alhamdulillah penulis merasakan ketenangan itu. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya penulis dapat menyediakan sedikit bekal di samping mencari banyak lagi bekal untuk dihadapkan di hadapan Allah kelak. Penulis masih mempunyai banyak kedhaifan diri yang tidak terlihat oleh mata kasar. Namun, penulis sentiasa ingin berubah dari satu tahap ke tahap yang lain.


Bukankah Nabi kita telah berpesan :

"Orang yang hari ini lebih baik dari semalam adalah orang yang beruntung. Manakala orang yang hari ini masih sama seperti semalam adalah orang yang rugi. Dan orang yang hari ini lebih teruk dari semalam adalah orang yang celaka".

Adakah anda tergolong dalam golongan insan-insan yang beruntung, rugi mahupun CELAKA? Renung-renungkan sebentar. Muhasabah diri semula. 

Penulis teringatkan akan firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :

"Sekiranya sesuatu kaum itu tidak mahukan Islam, maka Aku akan memberikan kepada mereka yang mahukannya".

Nah! Sedikitpun Allah tidak rugi apatah Islam itu sendiri. Hari demi hari, ramai yang inginkan Islam. Dan ada juga yang semakin jauh dari Islam itu sendiri. Mengapa?

Cukupkah dengan mengatakan :

"Saya dah cuba sedaya upaya. Inilah kadar kemampuan saya".


Cukupkah?

Cukup bagi diri kita yang sentiasa mahukan kesenangan. Yang tidak mahu bersusah-susah di usia muda.

Elakkanlah diri kita dari menjadi salah seorang hamba pilihan Allah yang akan 
diPEKAKkan telinganya, diBUTAkan matanya dan diBISUkan mulutnya.

Mengapa penulis begitu menekankan akan hal ini?

Anda perasan, apabila seseorang itu sudah menghabiskan pengajiannya di sesuatu IPT, pasti dia akan merindukan IPT tersebut walaupun hakikatnya dahulu dia tidak begitu menyukai IPT yang didudukinya. Benar? Kerana mereka begitu merindukan suasana "student life" yang tidak akan berulang lagi. Mengapa ketika di IPT, anda tidak mahu bersungguh-sungguh dalam menawarkan diri untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan tanggungjawab bersama ahli yang lain? Mengapa bila dah grade, barulah nak mengatakan "dah terlambat", "rindu suasana jemaah", "rugilah dah tak ada di IPT" dan bermacam-macam lagi?


Fikirkan kembali. Ada yang tinggal jauh dari Politeknik ini. Johor, KL, Perak, Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Tapi, anda pastikah yang anda akan menjejakkan kaki lagi ke Politeknik atau IPT bagi menyambung "tugasan" anda yang tidak sempat disiapkan sebelum ini? Anda boleh menjamin perkara itu? Hatta yang tinggal di Perlis sekalipun tak dapat hadir ke IPT, apatah lagi yang tinggal jauh. Penulis ingin menyatakan bahawa zaman IPT di kala usia remaja tidak akan kembali lagi walaupun kelak mungkin ada yang akan menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi seperti PHD dan sebagainya. Jadi, hargailah zaman ini supaya anda dan penulis mempunyai bekal untuk dihadapkan di hadapan Allah kelak.

Islam tidak akan rugi. Yang rugi adalah ANDA!


Kepada peserta program esok, ikhlaskan niat di hati bagi membentuk semula diri yang mempunyai banyak khilaf. Jadikan setiap ilmu yang diperoleh sebagai 'top-up' tambahan kepada diri anda masing-masing. Biarlah 'mereka' di luar sana dengan dunia mereka. Tetapi, fikirlah sejenak. Alangkah beruntungnya anda kerana anda merupakan insan terpilih yang dipilih oleh Allah. Yang dimudahkan oleh Allah. Allah jua yang memberi dan menarik nikmat manusia. Anda tidak akan menyesal. Percayalah. Mungkin sekarang masa anda dihabiskan di sini untuk masih istiqamah dalam jemaah, tetapi suatu hari pasti anda tidak akan menyesal. Kerana anda juga akan mempunyai anak. Anak-anak itulah akan mengikut jejak langkah anda. Sama-sama kita renungkan. Hendak mendidik anak bukanlah setelah mereka lahir, tetapi bermula dari zaman muda ayah-ayah mereka. Sikap ayah atau ibu akan turun kepada anak-anak. Iman tak dapat diwarisi tetapi akhlak boleh diwarisi. Wallahua'lam.


Penulis tinggalkan anda dengan pesanan daripada Imam Al-Haddad :

"Bersegeralah dalam berbuat kebajikan kerana akan tiba satu zaman yang peunh dengan fitnah. Apabila berbuat kebaikan, yang nampak adalah kejahatan. Begitulah sebaliknya".

Wednesday, 14 December 2011

Result Dah Keluar. Di Mana Aku?

Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Kita dipertemukan lagi dalam ruangan ini. Makin bertambah-tambah sahabat penulis di facebook. Syukran kerana anda sudi menjadikan penulis sebagai sahabat. Alhamdulillah. 


Baru-baru ini, keputusan peperiksaan pelajar Politeknik telah diumumkan. Jadi, bermacam-macam reaksi dan gaya penerimaan daripada setiap individu. Begitu juga dengan penulis sendiri. Penulis pun tidak terlepas untuk menerima keputusan peperiksaan apabila selesai mengharungi zaman semester sebelumnya. Alhamdulillah.

Tetapi, penulis ingin sekali membangkitkan di sini. Apakah reaksi pertama apabila menerima keputusan peperiksaan itu? Adakah dengan lafaz "alhamdulillah" mahupun "astargfirullah" atau "innalillahiwainnailaihiroji'un"? Sama-samalah kita berfikir sejenak merenung kedhaifan diri saat diberikan nikmat dan juga saat ditimpakan musibat. Di mana kita?


Penulis tidak menafikan, perasaan gembira akan mengiringi individu-individu yang memperoleh keputusan yang cemerlang atau diistilahkan mendapat keputusan 3.5 and above. Begitu juga dengan penulis. Tetapi percayalah, SIAPA YANG USAHA, DIA AKAN DAPAT! Namun begitu, sekiranya anda sudah berusaha berhempas pulas mengerah tenaga yang disusuli dengan doa, tetapi masih tidak mencapai keputusan yang diidam-idamkan, maka janganlah menyalahkan diri sendiri lantaran "tidak pandai" atau "lemah". Tetapi, bersyukurlah. Bersyukur kerana anda merupakan orang yang terpilih untuk menerima ujian sebegini dalam pelajaran. Mari renungkan sejenak. 

Di manakah sebenarnya kedudukan kita yang sebenar?

Adakah anda sekadar hadir ke IPT untuk belajar dan memperoleh segulung Diploma @ Ijazah @ Master @ PHD?
Adakah kehadiran diri kita ke IPT hanya untuk mencari keseronokan yang entah di mana hujung pangkalnya?
Atau ketidakhadiran kita di IPT hanya ibarat rumput di jalanan? Wujudnya tanpa disedari, dan hilangnya juga tanpa disedari?

Renung-renungkan sejenak.


Mungkin ada yang menyalahkan Allah s.w.t. 

"Saya istiqamah dalam beribadah, saya rajin ke masjid, saya tak pernah tinggalkan solat, tetapi kenapa Allah tidak memakbulkan doa saya? Mengapa keputusan saya masih sama seperti dulu? Mengapa? Allah tidak adil kepada saya..."

Jangan sesekali mengungkapkan kata-kata sedemikian rupa. Jangan sekali-kali menyalahkan Allah. Tetapi, diri anda sendiri yang perlu dimuhasabahkan. Fikir-fikirkan sejenak. 

Masa study saya benar-benar relevankah?
Waktu saya dibahagikan dengan betulkah untuk study?
Adakah saya memahami setiap intipati pelajaran yang diajar di kelas?
Apa tindakan saya ketika di awal semester? Main-main atau serius?

Mudah sahaja. Semak keperluan diri. Semak kelemahan diri. 

1. Periksa semula kelemahan dalam setiap subjek.
2. Rangka jadual (Boleh rujuk kepada pensyarah/pemasihat masing-masing)
3. Fahami kelemahan diri
4. Rujuk pada sahabat terdekat bagaimana cara untuk menjadikan diri mahir dalam subjek.
4.Istiqamah dari awal semester.
5. Sulami dengan amal yang istiqamah.
6. Berdoa dan bertawakkal.


Terlalu banyak kaedah yang dianjurkan. Tetapi bergantung kepada diri sendiri. Anda nak berjaya, anda kena tentukan mana arah tuju anda. Adakah dengan memperoleh 3.00 pointer sudah mencukupi bagi anda? Puas? Bagi penulis, tidak puas rasanya. Jadi, lonjakkan semangat yang tinggi untuk ke arah yang lebih baik. Insya-Allah. 

Untuk menjadi orang yang berjaya, ianya penuh ranjau berduri. Kena tidur lewat. Rajin buat nota. Belajar dan beribadah perlu seiring. Tetapi, saat mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, bibir mula menguntum selebar-lebar senyuman. 


Untuk menjadi orang yang gagal, terlalu mudah. Mengamalkan sifat bertangguh. Belajar menyendiri. Egois. Malu mengakui kelemahan diri. Tidak mengenali kehebatan dirinya. Itulah dia. Mudah untuk dilakukan. Tetapi, di saat-saat keputusan peperiksaan diumumkan, dia menjadi orang yang bengis. Menyalahkan itu, ini. Menganggap Allah tidak adil. Ini takdir, katanya. Sangat cetek pemikiran mereka ini. Maka, jauhilah ia. Jauhilah ia. Jauhilah ia.

Siapa yang tidak pernah gagal?

Terlalu ramai orang yang gagal sebelum benar-benar berjaya. Penulis sendiri pernah jatuh merudum dalam pelajaran lantaran sikap diri yang "banyak main". Banyak nama-nama hebat yang pernah jatuh teruk. Tetapi, ketika saat-saat meniti tangga kejayaan, mereka seolah-olah lupa akan kepahitan sebelumnya. Begitu juga dengan anda. Ibaratnya mencari barang yang hilang. Bila sudah ditemukan, perasaan gembira melonjak-lonjak di dalam hati. Ketika itu, mata bersinar-sinar bak matahari yang menyinar. Mereka di luar tidak mengetahuinya. Hanya diri kita yang merasa. Betul kan? 


Kita adalah sama. Tiada yang membezakan kita. Yang membezakan kita adalah tahap iman yang kita pegang. Anda pernah jatuh. Penulis juga pernah jatuh. Anda nak berjaya. Penulis juga begitu. Bezanya, tahap cabaran untuk kita adalah berlainan. Itu yang perlu kita ketahui. 

Sekiranya tidak silap, Ckin Kembaq selalu mention tentang Encik Radhi pada penulis. Katanya, Encik Radhi merupakan seorang tutor yang hebat padanya. Apa kata anda menjadikan beliau sebagai tutor anda? Penulis juga pernah bertemu dengannya. Penulis melihat kegigihan dalam diri beliau dalam menyampaikan sesuatu kepada anak didiknya. Tiada salahnya. Mungkin ada sesuatu yang akan dikongsikan oleh beliau kepada anda selepas mengadu permasalahan dalam pelajaran kepadanya? No one knows. =)


Penulis mengharapkan kepada mereka-mereka yang gagal atau diistilahkan 'down' pada semester ini, buangkan perasaan negatif dari minda anda. Allah s.w.t ingin melihat sejauh mana tahap keimanan anda pada-Nya. Tetapi, jadikan kegagalan itu sebagai pembangkit semangat anda untuk terus berhadapan dengan ujian-ujian dalam pelajaran bagi semester-semester yang akan datang. Insya-Allah. Dia mendengar akan setiap keluhan anda. Believe me. =) Till then, setiap yang Allah turunkan, ada hikmah tersembunyi yang dirahsiakan daripada kita semua. Maka, carilah ia. Kejarlah ia. Wallahua'lam. =)

Monday, 12 December 2011

Rentetan Untukmu,Puteri...

Assalamualaikum w.b.t.

Astargfirullahal'azim. Astargfirullahal'azim. Astargfirullahal'azim.
(Bersama-sama anda istighfar dengan penulis yer. Insya-Allah)


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah s.w.t. ini. Dapat bangun di pagi hari, menunaikan ibadah dan akhirnya kembali kepada fitrah. Alhamdulillah.

Tersentap di jiwa penulis tatkala membaca entri di blog saudara Iqbalsyarie yang memaparkan akan teguran halus oleh dirinya buat puteri-puteri di luar sana. Lihat sini :


Penulis ingin berkongsi dengan anda semua bait-bait kata yang diluahkan dalam entri beliau dengan cara penulis yang tersendiri. Penulis kurang suka membaca tulisan yang tidak disulami dengan imej-imej penenang. Jadi, penulis mengedit semula post beliau untuk tatapan dan peringatan penulis dan anda semua. Insya-Allah. Tanpa melengahkan masa, marilah kita menghayati bait-bait madah yang disampaikan oleh saudara Iqbalsyarie ini. Insya-Allah. =)


Puteri,
Pernah makan ubat tak? Mesti pernah kan? Dulu masa puteri kanak-kanak, mak puteri mesti suapkan puteri ubat. Lucu pula membayangkan masa-masa dulu tu. Mesti masam saja muka puteri kerana dipaksa untuk telan ubat, kan? Tak apa. Saya faham puteri. Saya dulu pun macam tu juga; tak suka makan ubat. Pahit!

Yalah puteri. Kita punya pandangan yang sama. Ubat memang selalunya pahit, tak sedap dan kita pun tak suka. Tapi puteri, pahit-pahit ubat pun, ia penting dan ia bernilai.

Puteri,Tujuan saya menulis surat ini pun sama. Saya nak memberi 'ubat'. Saya tahu ia 'pahit'. Saya tahu puteri pun tak suka. Tapi puteri... kita kan sama-sama setuju yang pahit itu menyembuhkan. Jadi saya harap sangat puteri tak melenting. Baca, fikir, dan bertindak.


Puteri,
Allah berfirman dalam ayat 5 surah At-Tin: 

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dala bentuk yang sebaik-baiknya". 

Ayat Allah ini sangat betul puteri. Pada diri puteri, tiada yang tak cantik. Tiada yang tak indah. Tiada yang tidak menawan. Semuanya memikat.

Sungguh!

Tapi puteri, dalam ayat yang lain, Allah juga berkata:
"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh".

Puteri... saya tak bermaksud untuk mengatakan puteri itu 'rendah'. Tidak sama-sekali. Tapi puteri kena ingat, Allah kata kita ni 'rendah', tak cantik, tak indah, bahkan hodoh, bodoh, hina, dan jijik jika kita tak taat kepada Dia.


Puteri sayang,
Allah benar-benar Maha Pencipta Yang Agung. Ciptaannya sempurna. Buktinya jelas terpampan dan terpasung pada diri puteri sendiri. Puteri indah, cantik. Tapi atas dasar apa cantik itu? Atas tujuan apa jelita itu? Dan untuk apa diciptakan oleh Dia, dirimu yang indah? Untuk suka-sukakah? Saya rasa tidak. Untuk semudah petikan jari, keindahan itu dipertontonkan kepada semuakah? Saya yakin bukan. Untuk sebuah senyum jengkel, keindahan garapan Dia pada batang tubuh puteri dinikmati dengan khianat oleh mata-mata manusia? Sudah tentu bukan!

Lalu, kenapa Dia jadikan puteri sangat jelita? Sangat indah? Sangat menawan? Dan sangat mengiurkan? 

Jawabnya: "La'allakum tashkurun"

Mudah-mudahan puteri bersyukur.


Puteriku,
Boleh tak jika kita berbicara sedikit tentang aurat? Saya tahu puteri jemu. Saya faham puteri bosan. Iyalah. Sudah ramai yang 'menghentam' orang-orang macam puteri kan? Orang yang 'free-hair', orang yang berpakaian singkat, orang yang bergaya seksi. Kata mereka, orang-orang macam puteri inilah yang bakal memenuhkan neraka. Sedihnya saya. Tak patut langsung mereka kata begitu. Adakah mereka itu bukan calon ahli neraka? Hingga mereka celupar sangat nak kata puteri begitu! Maafkan saya puteri. Saya kecewa dan tumpang bersedih.

Tapi tak apa. Puteri dengar dahulu apa saya nak cakap ni. Berlapang dadalah. Saya tak mencaci, jauh sekali membenci. Tapi kerana saya sayang, kerana saya kasih, dan kerana saya ambil peduli, saya sertakan diri puteri untuk sama-sama duduk di 'meja bulat' ini, bersama bercakap tentang aurat.

Puteri, bagaimana ya saya mahu bermula?


Mungkin petamanya saya patut benar-benar meminta maaf. Saya akui saya tak bijak. Saya akui juga saya tak cukup kretif dan berhikmah dalam berkata-kata. Tapi saya pohon benar, tiada sedikit luka pun saya tinggalkan dalam hati puteri yang indah itu. Tiada.

Puteri, kita sama-sama mengakui bahawa aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Setuju? Kerana kita bermazhab Syafie, maka kita yakini seluruh tubuh yang kecuali bahagian wajah dan pergelangan tangan ialah aurat. Lalu, daripada rambut hinggalah ke hujung kaki, selain daripada dua anggota zahir itu, wajib bagi puteri untuk menutupnya. Setakat ini masih boleh bersetuju?

Oh, apa dia? Kaki?
Ya. Kaki juga aurat puteri. Tapi tak apa. Kita fokus dahulu kepada perkara pokok.


Puteri mesti ada kawan-kawan wanita yang solehah, yang baik-baik kan? Tengok apa yang mereka pakai? Tubung labuh, jubah, stokin tangan, dan sarung kaki. Itu biasa bagi mereka. Tapi mungkin puteri tak tahu, selain mereka, ada juga satu golongan lagi yang bertudung. Mereka tidak menampakkan keindahan rambut mereka, tapi hanya itu sahaja yang mereka simpan.

Kecantikan batang tubuh mereka dibiarkan 'diratah' oleh nafsu serakah golongan pria. Bagi puteri, betul tidak orang macam ini?

Betul? Kenapa puteri kata betul? Oh... sebab kawan-kawan puteri yang baik-baik tu cakap kalau tak pakai tudung, berdosa masuk neraka. Iya?


Betullah tu puteri, tapi tak tepat. Puteri kena ingat satu; aurat wanita bukan semata-mata rambut. Tak pernah termaktub dalam mana-mana bahagian dalam agama, bahawa jika wanita sudah bertudung, bermakna aspek aurat dia sudah selesai. Tak ada puteri. Kata-kata sahabat puteri tadi tu tak tepat.

Yang masuk neraka bukan hanya orang yang tak bertudung, tapi orang yang berpakain mendedahkan keindahan batang tubuh, itulah yang paling layak dahulu. Tak kiralah dia bertudung atau tidak, labuh atau singkat... asal saja sisi penampilannya menggeletek nafsu lelaki, membangkitkan ghairah lelaki tanpa dia sendiri sedar, maka dia lebih patut ke neraka.

Maaf. Saya bukan nak menakut-nakutkan tapi hakikatnya memang begitu. Islam yang datang daripada Rasulullah ada dua elemen; 'basyiran' wa 'naziran', berita gembira dan peringatan. Saya cuma menyampaikan peringatan.

Puteri, pada diri orang yang tak bertudung, memang dia berdosa pada Allah. Tapi bagi yang berpakaian ketat dan mendedahkan keindahan tubuh badan, dia berdosa dua kali ganda. Lebih-lebih lagi, yang bertudung tapi berpakaian ketat, dia berdosa bahkan berganda-ganda!


Atas dasar apa saya bercakap begini? Sembereno? Tidak...

Cuba puteri ingat balik, apa tujuan Allah mewajibkan wanita berjilbab. Kita sama-sama rujuk surah al-Ahzab ayat ke 59: 

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak gadismu, dan isteri-isteri orang mukmin; "Hendaklah kamu menutup jilbabnya keseluruh tubuh mereka", kerana yang demikian itu agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"

Apa yang puteri dapat ambil pengajaran? Kita sama-sama lihat tujuan jilbab itu- 

"...agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu..."

Ya. Itu tujuannya. Ada yang kata, tak bertudung membangkitkan nafsu. Benarkah kata-kata mereka ini? Betulkah dengan hanya tunjuk rambut, nafsu lelaki akan bergelojak? Mungkin pada kes-kes yang kritikal, lelaki 'gila' teroleng-oleng. Tapi bagi lelaki yang kebanyakan, dan yang majoriti lagi normal, setakat nampak rambut, nafsu ini belum lagi terdorong untuk penzinaan.Tapi jika batang tubuh itu dibiarkan ditampal dengan benang, atau dibiarkan dilekatkan dengan fabrik halus, ya. Itu memang satu ancaman pada nafsu. Ia benar-benar membuka ruang kepada zina. Atau yang lebih kita takuti, ia membuka ruang kepada jenayah rogol.


Puteri kena ingat, Allah jadikan puteri sebagai makhluk yang cukup indah. Cukup cantik. Setiap inci tubuh puteri ibarat kilauan mata Medusa; yang mengikut kepercayaan Orang Greek lama, jika kita memandang kilaun mata Medusa, kita akan keras dan menjadi batu. 

Samalah! 


Jika sekali lelaki terpandang keindahan batang tubuh puteri, mereka akan membatu. Susah untuk mengalihkan pandangan kerana nafsu sudah menguasai dimensi sedar. Kerana itu saya minta puteri berhati-hati. Kita hidup di zaman yang serba tak kena. Tak ada orang baik di sini. Jika mahu selamat, sama-sama patuh pada solusi yang Allah tetapkan. Puteri kena tutup aurat, dan kaum lelaki seperti saya pula perlu menjaga kehormatan kaum wanita seperti puteri.

Kerana itulah saya tak pernah tergesa-gesa menyuruh orang bertudung. Sebaliknya, saya suka kalau puteri dan kawan-kawan bermula dengan memakai pakaian yang sopan-sopan. Takrif sopan bagi saya ialah yang longgar, yang labuh, yang tak menayang bentuk badan, terutamanya pada bahagian dada. Contoh pakaiannya ialah baju kurung.

Sedikit demi sedikit, bertukarlah kepada tudung. Saya tahu puteri suka berfesyen dan bergaya. Tak jadi masalah jika tak melampau batas. Bukankah kita orang islam ada batas-batasnya? Puteri bebas mahu menggayakan tudung. Tak pernah jadi kesalahan untuk bergaya asal saja prinsipnya tak digadai. Apa dia prinsip itu?Yang ini penting. Sangat penting. Prinsip bertudung ialah untuk mempamerkan identiti seorang muslimah.


Kerana itu saya kecewa dengan gadis yang bertudung tapi terlompat-lompat, terjerit-jerit, dan terjerut bila bertemu artis. Kerana itu juga saya sedih dengan gadis bertudung yang bercengkerama, berpegangan tangan bahkan sudah membintangi klip-klip video telefon bimbit dengan aksi ghairahnya. Saya pernah menangis juga. Adakah ini muslimah?

Muslimah wajib ada identiti! 

Makanya, orang yang begini dosanya ada bonus- iaitu mendatangkan fitnah kepada agama. Puteri masih ingat tidak dahulu, pernah ada kes video seks guru agama tersebar. Kononnya bertudung labuh, tapi berzina dengan teman lelaki. Ramai yang mengeluarkan kenyataan bersifat mengeji, menghina dan marah. Berang. Tapi semuanya dibuat atas perkiraan emosi. Benar kita marah. Benar kita kecewa. Tapi kita tak pernah nak bersoal jawab, menyelidik kenapa gadis bertudung labuh pun tercampak ke kancah zina.


Jawabnya mudah puteri. Hari ini zina bukan lagi pintu pada aurat yang terbuka, tapi ia juga kerana pergaulan yang tak ada sisi penjagaannya. Lelaki dan perempuan, tak kiralah bertudung atau tidak, jika ia sudah mula melebihi batas-batas dan disiplin-disiplin yang ditetapkan, maka sama-sama mereka bertiga; bersama syaitan, merangkak ke pintu zina dan mungkin ia akan membuka pintu kebinasaan yang lebih besar iaitu pintu nereka. Cuma beza antara bertudung, berpakaian ketat, dan pergaulan bebas ialah pada tahapannya.

Puteri tak perlu tergesa-gesa bertudung, tapi puteri cuma perlu segera melindungi keindahan batang tubuh. Puteri juga tak perlu terkejar-kejar membuang atau menyorokkan pakaian-pakaian yang seksi dan mendedahkan batang tubuh, sebaliknya yang paling penting ialah puteri kena menanam batas atau pagar pada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Benar dia kawan kita. Benar dia teman lelaki kita. Dan benar, dia tunang kita. Tapi prinsip tetap prinsip. Jangan gadaikannya.


Dan akhir kata, saya tegur kerana sayang. Ya, kerana sayang. Jangan puteri marah, jangan puteri meradang. Kita sama-sama menelan ubat. Kita sama-sama merasa pahit. Tapi untuk hari esok yang lebih sihat, biar kita sama-sama menelan.

Bagaimana? Anda merasakan sesuatu? Allahuakbar! Mudah-mudahan akan sampai hasrat hati saudara Iqbalsyarie untuk menegur kaum perempuan di luar sana. Semoga usaha murni beliau mendapat rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t. Penulis juga ingin menasihatkan puteri-puteri yang sedang membaca post ini. Terdapat berjuta manusia di planet Allah ini dan setiap isi di dalamnya yakni manusia, mempunyai keinginan nafsu yang pelbagai. Maka, berhati-hatilah. Berhati-hatilah. Berhati-hatilah. Jangan disebabkan mengikut turutan hawa nafsu, anda terjerumus ke lembah hina. Jauhilah dari sekarang. Insya-Allah. 

Pesanan penulis, 

"Carilah dirimu, selidiklah siapa dirimu" 
(Kelak kau akan mengetahuinya tanpa perlu dipaksa)

Sunday, 11 December 2011

Penulis Dah Create Akaun FB. Let's ADD Me!

Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Penulis ingin mengambil sedikit kesempatan untuk memaklumkan kepada anda semua bahawa penulis sudah 'create' akaun facebook bagi memudahkan urusan penulis di sini. Sekiranya anda ingin menjadi salah seorang daripada sahabat penulis, anda boleh search di facebook nama samaran penulis iaitu : 


Penulis ingin memudahkan urusan penulis di samping mengelakkan diri dari menyusahkan Ckin Kembaq. Beliau sudah banyak membantu penulis dalam bidang penulisan ini. Di samping itu, beliau turut busy dengan tugasnya sebagai seorang pekerja. Penulis memohon jasa baik beliau sebelum ini untuk tolong 'post'kan entri yang dikarang oleh penulis di group facebook Rakan Pusat Islam PTSS sebelum ini. Jutaan terima kasih penulis tujukan buat beliau. Semoga usaha murni kita semua akan mendapat rahmat dan berkat daripada Allah Yang Maha Agung. =)

Syukran kathiro kepada anda semua yang membuatkan semangat penulis menjadi semakin bertambah-tambah naik apabila melihat anda datang ke sini. Syukran kathiro. Syukron kathiro. Semoga kita bertemu lagi di masa lain dengan kupasan isu yang penting. Insya-Allah. Doakan agar penulis diberikan daya kekuatan untuk sentiasa berada bersama-sama anda tidak kira di mana penulis berada. Insya-Allah. =)


Pesanan penulis :

"Janganlah dicari siapa diriku, tetapi carilah sesuatu di sebalik madah penulisanku"

Salam taaruf dari penulis,
Waiz Aufa
(Penasihat Yang Setia)

Terbongkarnya 15 Rahsia Di Kota Mekkah

Asssalamualaikum w.b.t.


Bagaimana perjalanan harian anda semalam? Adakah lebih baik dari hari ini ataupun lebih buruk dari semalam? =) Muhasabah diri sejenak. Insya-Allah. 


Disebutkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud : 

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. 
Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 

Jadi, jadikanlah hari ini lebih baik dari hari-hari yang seterusnya dengan mengambil pengajaran dari hadis yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., rasul utusan yang mulia ini. Berpandukan kepada diri kita sendiri untuk mengubahnya. =)

Pada hari ini, penulis berniat mahu berkongsi sesuatu yang perlu kita, umat Islam ketahui. Perkara tersebut adalah mengenai rahsia-rahsia yang terselindung di sebalik Kota Mekkah yang menempatkan Kaabah yang mulia. Bila agaknya kita akan sampai ke sana yer? Semoga Allah mempermudahkan urusan kita kelak. Insya-Allah. Bersama-samalah kita memohon kemudahan itu. Terdapat 15 perkara yang penulis ingin kongsikan di sini. 


Selamat membaca dan menghayatinya. =)

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.

2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.


4. Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi=doa akan termakbul kerana di situ adalah tempat gema atau ruang dan masa serentak.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.


7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.


10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.

11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekahsentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.


13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.


Pendek kata, semua yang diperintahkan Allah mempunyai hikmah yang tersendiri dan tersembunyi. Bergantung kepada seseorang itu untuk mencari sebanyak mungkin rahsia-rahsia yang dikhabarkan oleh-Nya. Penulis juga terpesona dengan ciptaan-Nya ini. Tiada sesiapa yang mampu untuk melawan kudrat-Nya. Dia sahaja Yang Maha Berkuasa. Sebentar tadi, penulis terlihat akan satu page yang namanya Makcik Hajjah Al-Wuzara. Begitu lemahnya seorang manusia yang telah ditarik hidayah daripada hatinya. Sesungguhnya Allah akan memilih hamba-hamba yang terpilih sahaja untuk menerima tanggungjawab sebagai seorang hamba yang beriman. Bersama-samalah kita mendoakan agar dia diberi petunjuk oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Beliau telah tersesat jauh sangat daripada acuan Islam. Entah apa yang ada di mindanya dengan mencaci hina Allah, iaitu Pencipta kita Yang Maha Hebat. 


Penulis mengingatkan diri penulis agar sentiasa berdoa agar sentiasa dipelihara iman dan Islam yang dipertanggungjawabkan ke atas kita semua. Jangan sesekali lari dari litar Allah. Kelak, kita akan ditanya apa yang kita lakukan. Allahuakbar! Mudah-mudahan kita tidak akan dicampakkan oleh Allah Taala dalam kalangan orang-orang yang ingkar dan orang-orang yang berdosa. Allahuakbar! 

Penulis ingin mengajak anda untuk bersama-sama menghayati maksud doa "Robbana la tuziq qulubana ba'daizhadaitana wahablana min ladunka rohmah innaka antalwahhab" ini. Amalkanlah setiap kali selepas solat. Insya-Allah. Semoga kita dipelihara Allah dari jurang kekafiran. Allahuakbar! 

"Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah, 
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. 
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kami apa yang kami tak sanggup memikulnya. Ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP