Saat Islam Itu Dihina
Assalamu'alaikum.
Pada post kali ini ingat nak kongsi sedikit input yang ana dapat kutip semasa program Diskusi Ilmu oleh En. Radhi iaitu pada Sabtu malam, 6 Zulkaedah 1433 bersamaan 22 September 2012. Bole kate ni Part1 yang akan dikongsikan hanya berkisar tentang soal semasa.
Sekarang ni pakat sibuk dengan hal penghinaan terhadap Nabi kita Muhammad SAW melalui filem 'Innocence of Muslim'. Benar, elok sangatlah luahan ketidakpuasan hati yang kita zahir dan lemparkan itu. Namun dalam itu, janganlah pula kita sisihkan nilai adab dan batasan dalam meluahkan rasa itu. Pelik juga sampai diberitakan bahawa sehinggakan duta Amerika di Libya terbunuh semasa tunjuk perasaan. Dalam kesibukan itu sahabat dan sahibah sekalian, eloklah kita bermuhasabah dahulu. Mengapa sebenarnya Islam itu dihina?
Islam Dihina, Kerana 2 Perkara :
1. Kita yang Membenarkan Agama Kita Dihina
Aik? Bagaimana tu? Sedang kita melolong membantah filem yang menghina Nabi kita itu, sedar tak sedar kita sendiri merupakan antara punca mengapa Islam itu dihina. Tak nampak lagi? Baik, ana terangkan.
Kita tidak mengamalkan ajaran Islam itu sehari-hari.
Tidakkah kalian merasakan dengan tidak mengamalkan ajaran Islam itu telah menghina Islam itu sendiri? Dimana kita saat muazzin melaungkan azan di rumah Allah? Sudah rapatkah tautan ukhwah di antara muslimin/at di sekitar kita? Sudahkah kita mencintai saudara kita melebihi diri kita sendiri? Inilah lubang-lubang yang perlu kita tampal dengan plaster ajaran Islam itu sendiri. Atas sebab ruang yang hadir kerana lubang-lubang itulah yang membenarkan fitnah dan penghinaan terhadap Islam itu sendiri lolos lantas menyerang umat Islam.
2. Kita Tidak Melahirkan Izzah (Kemuliaan) Islam
Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:" Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama. "Maka para sahabat r.a. pun bertanya, " Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat? "
Sabda Baginda SAW,
" Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut. "Sahabat bertanya lagi, " Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut? "
Jawab Rasulullah SAW,
" Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn. "Sahabat bertanya lagi, " Apakah itu al-Wahn? "
Rasulullah SAW bersabda,
" Cintakan dunia dan takut akan kematian. "
Maka benarlah sabda Rasul SAW. Benar, kuantiti kita pada hari ini amatlah ramai iaitu sebanyak 1.57b, bahkan melebihi kuantiti kaum Yahudi & Nasrani. Walaupun begitu, sabda Rasulullah SAW, " ..mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh.. ". Kerana apa? Kerana cintakan dunia dan takutkan mati.
Lagi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
" Bersegeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu kafir di petangnya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu kafir di paginya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia ". (Sahih Muslim, No: 169)
Mudahnya umat akhir zaman melakukan maksiat. Para sahabat dan sahibah sekalian, hati-hatilah, takut-takut terlanjur maksiat yang telah dilakukan, ada yang mengakibatkan gugurnya syahadah kita. Nauzubillah. Mari bertanya kepada diri, sudah zahirkan izzah Islam itu disetiap perbuatan kita sehari-hari? Jadikan soalan ini motivasi buat diri. Insya Allah.
Jadi puncanya telahpun kita ketahui, maka solusinya pula bagaimana? Apa yang perlu kita lakukan apabila Islam itu dihina?
Apabila Islam Dihina :
- Lahirkanlah amarah kita! Tetapi harus diingat, lahirkanlah ia dengan penuh adab dan akhlak.
- Fahamkan Islam itu sepenuhnya. Agar segala keputusan dan tindak-tanduk kita itu berlandaskan ajaran Islam. Lantas jika begitu, pasti ruang-ruang fitnah dapat ditutup rapi.
- Kikislah segala sifat mazmumah di dalam diri.
- Carilah titik-titik persamaan di antara saudara seMuslim kerana Allah SWT
Kalaulah keempat-empat point di atas dapat dilaksanakan saat Islam dihina, tak ke hebat? Fikir, saat Islam itu dihina, amarah yang dizahirkan amatlah beradab dan berhikmah. Maka izzah Islam itu pasti terpancar lantas dapat menarik minat hati-hati mereka yang bukan Islam. Saat Islam itu dihina lagi, umat Islam berlumba-lumba untuk cuba memahami Islam itu sepenuhnya, mengapa Nabi Muhammad itu dihina? Bgaimana akhlak sebenar Rasulullah SAW? Semua persoalan itu dicari jawapannya. Saat itu lagi, masing-masing antara kita bersungguh-sungguh menghakis sifat mazmumah di dalam diri. Takut-takut perbuatan buruk kita itu yang membuka ruang fitnah terhadap agama Islam. Akhirnya, saat Islam itu dihina, maka makin rapatlah tautan ukhwah diantara Muslimin/at kerana masing-masing mereka mula mencari titik persamaan di antara mereka dalam usaha untuk memantap dan meneguhkan lagi saf umat. Masya Allah, maka saat Islam itu dihina, tidak langsung melemahkan umat Islam itu bahkan menambah lagi kekutatan umat Islam itu ! Takbir !
Sekian perkongsian (:
0 Kata Berhikmah:
Post a Comment