You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "

Powered by Blogger.

Saturday 30 March 2013

Takabbur


Takabbur bermaksud merasa diri paling mulia . Dari segi istilah bermaksud, menetapkan sesuatu pada dirinya dengan segala sifat yang baik dan luhur karena memiliki harta yang banyak atau ilmu yang tinggi. Dari pengertian diatas, takabbur dapat merasa atau menganggap diri besar dan tinggi yang disebabkan oleh kebaikan atau kesempurnaan pada dirinya, baik berupa harta, ilmu atau lain-lain.



Kesan Takabbur

Allah akan memalingkan hati orang yang takabbur
Firman-Nya yang bermaksud: 
"Aku akan memalingkan hati orang yang sombong takabbur di muka bumi tanpa alasan yang benar, daripada (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku).
Surah al-A'raf 7: 146


Tidak disukai Allah
Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya dia tidak suka kepada orang yang sombong takabbur."
Surah al-Nahl 16: 23


Terhalang daripada masuk syurga
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah sifat takabbur.
 HR Muslim


Idaman neraka Jahanam
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Neraka berkata,'Aku diberi hak untuk mengutamakan orang yang takabbur.
HR Bukhari, Muslim & Tirmidzi


Terjerumus dalam maksiat

Nafsu lebih ringan melakukan maksiat kerana takabbur. Adam dikeluarkan dari syurga akibat melanggar perintah Allah kerana menurut nafsu (bukannya takabbur) dan kemudian diampuni Allah. Namun Iblis pula dimurkai Allah dan dikeluarkan dari syurga kerana bongkak dan takabbur dan dilaknat hingga kiamat.



Allah tidak akan memandang kepadanya
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tiga (golongan) yang mana Allah tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat kelak dan tidak disucikan Allah iaitu orang tua yang berzina, raja yang menipu dan fakir yang sombong." 
HR al-Baihaqi


# nauzubillahi min zalik

Risalah Jumaat, 17 Jamadil Awal 1434H
Lajnah Usrah & Dakwah, RAPI

Thursday 28 March 2013

Akhlak yang Tinggi

Dalam surah al-Qalam, iaitu antara surah yang paling awal diturunkan di Mekah, dari mula lagi Allah telah menekankan kepentingan kedudukan akhlak yang tinggi. Bahkan, akhlak yang tinggi ini dikaitkan dengan diri peribadi pemimpin dakwah itu sendiri.

Firman Allah:

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang benar yang tidak putus-putus. Dan sesungguhnya kamu benar-benar mempunyai akhlak yang agung.
(Surah al-Qalam: 3-4)

     Oleh itu kerana besarnya peranan akhlak yang tinggi, maka Rasulullah SAW melaksanakan program pembinaan akhlak yang berterusan dalam kalangan para sahabatnya. Pembinaan akhlak yang luhur ini dilaksanakan melalui contoh-contoh sifat mulia para nabi yang dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sepanjang perjuangan di Mekah, qudwah hasanah Rasulullah SAW sendiri, tunjuk ajar dan nasihat Rasulullah terhadap para sahabat serta teladan-teladan mulia daripada sebahagian para sahabat itu sendiri.

     Di samping itu, selain daripada bentuk-bentuk yang disebutkan tadi, pembinaan akhlak ini juga melalui sebuah proses yang dinamis. Proses pembinaan ini berlaku apabila para sahabat sendiri mengharungi segala tekanan dan penderitaan dalam jalan dakwah dan kemudian berjaya menghadapinya dan menghasilkan kemantapan iman dan keteguhan saksiah.

     Dalam proses pembinaan ini, pembentukan akhlak para sahabat berkisar di sekitar pembentukan sifat-sifat utama seperti taat, sabar, al-wafa, istiqamah, rahmah dan hazar.

     Sifat taat menjadikan mereka tidak melakukan sebarang tindakan selagi ianya tidak bersumber dari wahyu Allah ataupun perintah Rasulullah SAW.

     Sifat sabar menjadikan mereka berkeupayaan untuk menanggung segala kesulitan semasa berdakwah.

     Sifat wafa menjadikan mereka berpegang kepada segala janji yang mereka berikan, terutama janji setia untuk bersama-sama Rasulullah SAW dalam semua keadaan.

     Istiqamah menjadikan mereka tetap pendirian di atas kebenaran.

     Sifat rahmah menjadikan mereka berusaha untuk menyebarkan hidayah demi kesejahteraan manusia sejagat.

     Sifat hazar menjadikan mereka sentiasa berwaspada agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan risalah dan perjuangan Islam.



Sumber: Rahsia-Rahsia Besar di Sebalik Sirah Rasulullah SAW

Friday 22 March 2013

Aqidah yang Teguh


Asas utama dalam pembentukan generasi awal Islam ialah aqidah. Ayat-ayat al-Quran turun dengan tema-tema utama di sekitar permasalahan Rububiyah dan Uluhiyah Allah. Surah-surah awal seperti al-Alaq, al-Qalam, at-Takwir dan al-A'la membincangkan berkenaan Rububiyah dan Uluhiyah Allah.

     Sebagai contoh, permulaan surah al-Alaq menerangkan beberapa sifat Rububiyah Allah seperti mencipta manusia daripada segumpal darah, memberi ilmu kepada manusia melalui perantaraan membaca dan menulis serta menanamkan di dalam dada manusia ilmu yang sebelumnya mereka tidak ketahui.

     Dalam ayat-ayat yang berikutnya pula Alah menjelaskan kekuasaan-Nya terhadap makhluk-Nya dan akhirnya menutup surah ini dengan sifat Uluhiyah-Nya:

Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya, dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Allah).
(Surah al-Alaq: 19)

Pada bahagian awal surah al-Qalam pula, Allah menggariskan beberapa tindakan yang mesti dilakukan oleh kaum Muslimin dalam menghayati pengertian Uluhiyah Allah. Ayat-ayat pada awal surah ini menunjukkan cara untuk merealisasikan penerimaan terhadap Uluhiyah Allah.

     Langkah pertama ini ialah supaya kaum Muslimin tidak mengikuti kehendak-kehendak golongan musyrikin. Hal ini kerana kepatuhan terhadap kehendak-kehendak mereka akan menjadikan penerimaan mereka terhadap perintah dan hukum Allah berbelah bagi.

     Hakikat utama Uluhiyah Allah ialah tiada sekutu dan persekitaran dalam kuasa mutlak Allah. Dengan yang demikian orang-orang yang benar-benar beriman tidak boleh sama sekali membiarkan dirinya didorong mengikut kehendak-kehendak orang yang mendustakan Allah:

Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).
(Surah al-Qalam: 8)

     Kemudian selepas mengasaskan dasar utama hakikat Uluhiyah Allah ini, maka Allah menjelaskan dasar utama hakikat Rububiyah-Nya seperti Allah berkuasa penuh terhadap tanaman subur yang dimiliki oleh pemiliknya.

     Selepas itu sekali lagi Allah menjelaskan sifat-sifat Uluhiyah-Nya dengan mencabar orang-orang yang ingkar sekiranya mereka sanggup mendatangkan sekutu-sekutu mereka bagi mempertahankan hujah mereka.

Firman Allah:

Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka adalah orang-orang yang benar.
(Surah al-Qalam: 41)

     Demikian seterusnya surah-surah awal yang diturunkan di Mekah yang membicarakan permasalahan Rububiyah dan Uluhiyah Allah sehingga para sahabat dirangkumi dengan kefahaman, kesedaran dan suasana Ubudiyah yang sebenarnya. Bahkan sekiranya ayat-ayat al-Quran menggariskan sifat-sifat Rububiyah dan Uluhiyah sebagai asas tauhid terhadap Allah, maka tindakan-tindakan Rasulullah SAW pula adalah penterjemahan kepada cara yang sebenar untuk mentauhidkan Allah.

     Ayat-ayat al-Quran dan tindakan-tindakan Rasulullah SAW itu sendiri adalah sumber utama dalam membina para sahabat agar menjadi anggota-anggota gerakan Islam yang mempunyai aqidah yang kuat.

Allahu'alam .


Sumber: Rahsia-Rahsia Besar di Sebalik Sirah Rasulullah

Friday 15 March 2013

Erti Kelapangan Hidup

Mari lihat diri, apakah kehidupan kita kini semakin lapang ataupun semakin sempit? Apakah saban hari kita merasakan semakin selesa dan gembira dengan apa yang kita lalui, atau sebaliknya semakin rasa terseksa dan tertekan dengan kehidupan seharian?

Kehiduan ini terlalu anjal sifatnya. Seketika kita boleh menarik nafas lega, berasa selesa dan lapang dada, tenang fikiran dan panjang angan-angan. Namun, ada ketikanya kita mungkin berasa sesak nafas, sempit dada, fikiran dibelenggu dengan masalah, dan kabur jalan yang bakal ditempuhi.

Mengapakan keadaan yang sedemikian berlaku? Adakah ia sekadar illusi atau permainan pancaindera? Ataupun adakan kehidupan itu sendiri mempunyai tirai rahsia yang perlu disingkap hijabnya?

Terlalu banyak persoalan yang diajukan. Persoalan yang kita sendiri ragu-ragu dengan jawapannya. Soalnya, jawapanyang sebagaimanakah  yang kita inginkan kepada persoalan tersebut? Apakah dia, erti kelapangan dalam kehidupan?



Cuba kita renungkan doa yang diajarkan kepada kita ketika mengerjakan umrah, ataupun ketika ingin meneguk air zam-zam.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفَاءً مِنْ كلِّ دَاءٍ وَسَقَمٍ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِين

Maksudnya: "Ya Allah, kami memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit."

Indah sungguh doa yang diajarkan kepada kita ini. Seolah-olah terangkum ciri-ciri kelapangan dalam kehidupan itu pada tiga perkara yakni;.
  1. Ilmu yang bermanfaat, 
  2. Rezeki yang luas,
  3. Sembuh daripada segala penyakit.

Tiga perkara ini jika dimiliki seseorang, sudah tentunya ia memberikan satu perasaan kelapangan dalam kehidupan. Betapa hidup ini perlu berpaksikan di atas dasar keilmuan yang bermanfaat. Ilmu akan menjadi penyuluh kehidupan, memimpin kita ke arah kebenaran dan menyelamatkan kita dari jatuh ke jurang yang membinasakan.

Rezeki yang luas juga ialah faktor yan membawa kepada kelapangan hidup, meskipun tidak semestinya. Masih ramai orang yang kaya tetapi tetap berasa sempit dadanya dan sesak kehidupannya kerana hilang ciri-ciri yang pertama (ilmu) dan ketiga (sihat). Namun begitu, jika ada ilmu, rezeki boleh diusahakan apabila ilmu tersebut diaplikasikan dalam kehidupan, insya Allah.

Walau bagaimanapun, ingatlah akan amaran Rasulullah SAW kepada kita, maksudnya: " Hampir-hampir kafakiran itu membawa kepada kekufuran. ". Jadi, rezeki yang luas adalah faktor pelengkap kepada dua faktor lain untuk mendapat kelapangan hidup.

Dan akhirnya, kesihatan adalah nikmat dan harta yang paling berharga untuk mengecap kelapangan hidup. Seorang professor yang hebat tetapi akhirnya terlantar dek sakit kronik, tentu kehilanagan kelapangan dalam hidup. Begitu juga seorang jutawan, sebanyak manapun harta yang dimiliki masih tidak mampu membeli kesihatan yang merupakan anugerah mutlak daripada Allah SWT kepada hambaNya.

Oleh itu bermuhasabahlah. Mari kita menilai dan koreksi diri kita, apakah ilmu yang kita pelajari sesuai dengan kehendak Alah SWT ataupun sekadar menurut nafsu semata-mata? Adakah rezeki yang kita perolehi itu datang dari sumber yang halal? Dan apakah yang kita makan dan kerjakan untuk menjaga kesihatan kita?

Sesungguhnya kelapangan hidup ialah dambaan bagi setiap manusia, Dan sebagai hamba, selayaknya kita pasrah di atas kurniaan Allah SWT kepada kita. Kelapangan hidup ialah kurniaan ALlah SWT kepada kita, jadi sebagai hambaNya, mohonlah dengan setulus-tulusnya, mudah-mudahan kita dikurniakan jalan-jalan kelapangan hidup. Apabila memohon, mohonlah agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan sembuh dari segala penyakit. Semoga Allah SWT melapangkan kehidupan kita semua, insya Allah.


Risalah Jumaat, 3 Jamadil Awal 1434H
Lajnah Usrah & Dakwah, RAPI

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP